GEORGE TOWN: Polis sedang menemubual semua pihak yang terlibat dalam
kes M Vasanthapiriya, seorang pelajar Tingkatan 2 yang cuba membunuh
diri selepas mendakwa dirinya disalah tuduh mencuri telefon bimbit
gurunya.
Ketua Polis Pulau Pinang Thaiveegan Arumugam berkata mereka akan
berusaha sedaya upaya menyiasat kes itu dan akan berlaku adil pada semua
pihak.
“Kami sangat bersedih dengan apa yang berlaku. Kami akan siasat semua aspek kes ini,” katanya dipetik FMT.
Thaiveegan berkata Vasanthapiriya dalam keadaan kritikal dan berharap
beliau akan segera pulih untuk membantu polis memahami keadaannya.
“Doa kami bersamanya dan saya harap dia akan terjaga untuk beritahu kisahnya kepada kami,” katanya.
M Vasanthapiriya, 13, dari SMK Methodist di Nibong Tebal, cuba membunuh
diri di rumanya selepas rayuan tidak bersalahnya tidak didengari
penuduhnya.
Dalam kejadian 17 Januari itu, penuduh, seorang guru berusia 40-an, dan
dua guru lain didakwa mengurung pelajar itu di pejabatnya.
Vasanthapiriya didakwa dimarahi dan diancam akan dilapor kepada polis
jika tidak mengakui perbuatan itu. Kemudian, Vasanthapiriya dikurung
dalam sebuah bilik hampir 5 jam.
Penuduh kemudian membawanya pulang ke rumah dan bertemu ibu bapa
Vasanthapiriya. Apabila ibu bapa pelajar itu keluar bersama penuduh dan
suaminya, Vasanthapiriya menggantung dirinya dengan selendang di dalam
biliknya.
Beliau meninggalkan nota: “Cikgu, saya tidak curi telefon cikgu”. Dia
kini dalam keadaan koma dan sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital
Seberang Jaya.
Sementara itu, guru terlibat dipindahkan sehingga siasatan selesai, kata Jabatan Pendidikan Pulau Pinang semalam.
Timbalan Pengarah Mohd Jamil Mohamed berkata guru terlibat akan
melakukan kerja-kerja pejabat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
Seberang Perai Selatan sementara siasatan dalaman sedang berjalan.
“Jabatan membuka kertas siasatan ke atas kejadian itu mengikut tatacara
operasi standard. Kami tidak bertolak ansur dengan kesilapan yang
dibuat oleh mana-mana pihak. Buat permulaan, guru terlibat sudah
ditempatkan sementara di PPD Seberang Perai Selatan sehingga siasatan
selesai.
“Kami juga akan bekerjasama dengan polis dalam perkara ini,” katanya
kepada pemberita di Hospital Sebarang Jaya selepas melawat keluarga
pelajar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan