HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Februari 2019

Individu ada tatu atau lambang kongsi gelap boleh ditahan

Bernama
MGD13112018_PDRM_02-1-681x454
Antara logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang mempunyai tatu atau lambang kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram adalah salah dan boleh ditahan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.

Rohaimi berkata, sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap telah diwartakan haram oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2013 di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di negara ini.

Beliau berkata, antara kumpulan kongsi gelap yang dikesan masih aktif adalah Sio Sam Ong, Ngo Sek Kee, Geng 360, Geng Double 7, Geng 3 Line dan Geng 36.

“Buat masa ini penggunaan tatu bercorak kongsi gelap yang diwartakan haram dikesan berkurangan, namun identiti mereka (anggota kongsi gelap) ini juga dapat dikesan melalui pelekat dan banner tertentu.

“Selain itu, identiti kumpulan kongsi gelap akan jelas dikesan ketika upacara pengebumian atau keramaian,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang memiliki lambang atau tatu kumpulan kongsi gelap akan didakwa mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Rohaimi berkata, seramai 369 anggota kongsi gelap ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dalam tempoh 5 tahun bermula 2014.

“Pelaksanaan Op Cantas Khas dengan menggunakan POCA dan Akta Kawalan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2002 memberi impak yang positif kepada usaha membanteras aktiviti kongsi gelap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tindakan proaktif pemaju dengan menempatkan pengawal keselamatan dan kamera litar tertutup di tapak projek di kawasan bandar menyebabkan kumpulan kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

“Pendekatan positif yang diambil pemaju perumahan membuatkan peluang kumpulan kongsi gelap untuk mengaut keuntungan di dalam kawasan bandar sangat tipis,” katanya mengulas faktor kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

Rohaimi meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap melalui talian hotline yang diwujudkan di seluruh negara dan memberi jaminan maklumat pemberi maklumat akan dirahsiakan. – Bernama

Tiada ulasan: