HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Februari 2019

‘Mengapa perintah supaya Rosmah periksa barangan kemas gagal dipatuhi'

MALAYSIAKINI

   
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mahukan jawapan mengenai mengapa perintah mahkamah supaya Rosmah Mansor memeriksa dan mengesahkan kedudukan 44 unit barangan kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, tahun lalu gagal dipatuhi.

Menurut peguam Rosmah, N Rajivan, mahkamah perlu mendengar alasan berkenaan sebelum membuat keputusan mengenai permohonan untuk menangguhkan prosiding dalam tuntutan yang dibuat oleh firma Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah.

Firma itu menuntut untuk mendapatkan semula 44 unit barangan kemas  termasuk tiara, kalung berlian, cincin, gelang dan anting-anting yang dihantar kepada Rosmah pada Februari tahun lalu.

Barangan berkenaan dipercayai dirampas pada pertengahan Mei selepas polis menyerbu premis yang dikaitkan dengan Rosmah dan suaminya, bekas perdana menteri, Najib Razak.

Rajivan berkata, kes saman yang difailkan terhadap anak guamnya tidak boleh diteruskan sehingga pihak polis dapat memberi penjelasan sama ada barang kemas itu berada dalam jagaan mereka.

"Oleh itu, kami memohon supaya prosiding kes saman ini ditangguhkan sehingga Mei 2019,” kata peguam itu kepada pemberita selepas hadir pada pendengaran permohonan Rosmah untuk menggantung prosiding kes saman itu di dalam kamar pesuruhjaya kehakiman, hari ini.

"Kami kata perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana ia akan menjejaskan kes anak guam kami," katanya.

Memandangkan demikian, ketua bahagian anti pengubahan wang haram Bukit Aman, Supt Foo Wei Min perlu hadir di mahkamah esok untuk memberi alasan kegagalan polis mematuhi arahan mahkamah sebelum ini kepada Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin.

Menurut pihak polis, kira-kira 12,000 keping perhiasan dirampas daripada premis yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah semasa serbuan tahun lalu.

Setakat ini masih belum ditentukan jika 44 keping yang dituntut oleh Global Royalty Trading yang berpangkalan di Beirut itu adalah sebahagian daripadanya.

Foo dalam afidavit sokongan yang diikrarkan sebelum ini menyatakan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa kesemua 44 unit barang kemas berkenaan adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dirampas pihak polis.

Sementara itu, Bernama memetik Peguam David Gurupatham yang bertindak bagi pihak syarikat Global Royalty Trading SAL, sebagai berkata pihaknya berpendapat bahawa perbicaraan kes saman yang dijadualkan pada 4 dan 5 Mac ini perlu diteruskan.

Pada 14 Feb lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain memohon perintah supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Tiada ulasan: