HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2019

MBPP: Permohonan ceramah Zakir ditolak kerana stadium diselenggara

MALAYSIAKINI

   

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan bahawa permohonan untuk penganjuran ceramah umum pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik di Stadium Bandaraya di George Town tidak dapat dipertimbangkan kerana stadium berkenaan mempunyai rutin penyelenggaraan.

Selain itu, MBPP dalam kenyataan media hari ini turut menjelaskan bahawa, Stadium Bandaraya juga telah ditempah oleh sekolah-sekolah, persatuan dan kelab sukan yang lain untuk acara sukan.

"Untuk makluman, Stadium Bandaraya telah menerima tempahan daripada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

"Perlawanan Bola Sepak Liga Premier 2019 dijadualkan berlangsung di Stadium Bandaraya dari Februari sehingga Julai 2019.

"Selain itu, Stadium Bandaraya juga telah ditempah oleh sekolah-sekolah, persatuan dan kelab sukan yang lain untuk acara sukan.

"MBPP mempunyai rutin penyelenggaraan padang dan stadium yang perlu dilaksanakan bagi memastikan venue sentiasa dalam keadaan baik untuk semua akiviti sukan," kata kenyataan media itu.

Tambah kenyataan media itu lagi, kerja-kerja penyelenggaraan stadium dan padang telah dijadualkan sebelum permohonan diterima daripada penganjur Zakir iaitu, Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Pulau Pinang (IPSI).

Penganjur ceramah Zakir sebelum ini menyerahkan permohonan dengan MBPP untuk menempah stadium dari 14 Jun bermula pukul 8 malam hingga 11 malam bagi anggaran kehadiran 10,000 hingga 15,000 orang.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPPP, Rashidah Jalaludin, melalui sepucuk surat bertarikh 13 Feb, memberitahu pihak berkuasa tempatan itu tidak dapat mempertimbang permohonan tersebut.

Presiden IPSI Kamaruddin Abdullah, Presiden Majlis Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Kassim dan Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang enggan mengulas isu berkenaan.

Untuk rekod, Zakir tidak dihalang dari mengadakan ceramah di Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof sebelum ini berkata keranaan tidak akan menghalang Zakir selagi dia mematuhi garis panduan yang diberikan.

Pendakwah kelahiran India itu didakwa dikehendaki pihak berkuasa India atas tuduhan menyebarkan ucapan kebencian dan mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

Zakir menafikan dakwaan itu dan berjanji tidak akan menjejaskan keharmonian di Malaysia atau melanggar undang-undang negara ini.

Ketika pentadbiran BN, Zakir mendapat status penduduk tetap Malaysia.


Tiada ulasan: