HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2019

Caj kesesakan, tol percuma: Apa kata orang ramai?



Cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi mengundang pelbagai reaksi khususnya di kalangan pengguna jalan raya.

Namun rata-rata yang ditemui Malaysiakini berpendapat paling penting bagi kerajaan pada masa ini adalah mencari mekanisme bagi memperbaiki mutu pengangkutan awam.

Bagi Ariff Karim, 27 dia bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan caj kesesakan terutama di waktu puncak.

Ini katanya dapat menggalakkan pengguna lebuh raya, khususnya di Lembah Klang beralih kepada pengangkutan awam.

“Pada waktu puncak, kalau tak nak redah kesesakan mahupun bayar tol, naiklah pengangkutan awam,” katanya kepada Malaysiakini.

Kakitangan swasta itu juga percaya kemudahan pengangkutan awam di negara ini sedang menunjukkan perkembangan positif dan lebih mudah untuk diakses berbanding dahulu.

Lee Jia Yi, 23 turut bersetuju dengan langkah kerajaan mengekalkan kadar tol pada waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan walaupun mengakui dia sendiri terkesan dengan mekanisme baru itu.

“Saya setuju kerana jika dibandingkan dengan negara luar, kadar tol yang dikenakan di negara kita adalah berpatutan.

"Ketika saya menetap di Jepun, harga tol sangat mahal. Jadi saya berpendapat harga yang dikenakan tidaklah terlalu membebankan rakyat,” Ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan perlu menambah baik sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan dan seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Berbeza dengan Ali Amir, 27 dia tidak bersetuju dengan mekanisme caj kesesakan yang diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan.

Berbanding Singapura, katanya, caj kesesakan dikenakan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, namun perkhidmatan itu di Malaysia masih belum mencapai tahap memuaskan.

Ahli perniagaan itu sebaliknya mencadangkan kerajaan memfokuskan usaha penambahbaikan pengangkutan awam.

Mengenai tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, Ali mempersoalkan berapa ramai pengguna jalan raya mendapat manfaat daripada mekanisme baru itu dan sama ada ia berjaya mensasarkan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Adakah golongan B40 menggunakan lebuh raya yang terlibat pada jam tersebut?" soalnya sambil menyarankan agar kerajaan mengkaji semula mekanisme tersebut.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Fadhil Abdullah berkata adalah lebih adil sekiranya lebih banyak tol dimansuhkan.

Beliau yang keluar bekerja menggunakan Lebuh Raya Kajang Silk mengakui terbeban dengan kadar tol sedia ada.

“RM 1.80 sen satu hala, balik dah RM 3.60 sen. Hari-hari keluar dah berapa kena bayar tol?” ujarnya yang tidak berpuas hati dengan kadar tol dikenakan pada masa ini.

Santhi Mithun, 36 pula berpendapat kesesakan tetap akan berlaku meskipun caj kesesakan dikenakan, terutamanya di laluan alternatif

Keadaan ini katanya disebabkan pemandu ingin mengelak daripada membayar harga tol.

Santhi yang bertugas sebagai jurutera berkata mekanisme itu tidak adil kepada pengguna jalan raya yang majoritinya keluar bekerja pada syif biasa.

Menurutnya apabila sesuatu dasar diperkenalkan, ia haruslah berpihak kepada kumpulan yang lebih besar berbanding minoriti.

Selain itu terdapat juga pengguna tidak pasti keberkesanan dasar baru tersebut seperti Iklil Fatihah Kamal Redzuan, 25.

Pelajar IPT tempatan itu juga mencadangkan diskaun 30 peratus turut diberikan pada waktu puncak.

"Saya cadangkan agar kerajaan lanjutkan tempoh tol percuma sehingga jam 7.30 pagi untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin ke tempat kerja pada awal pagi," katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mana syarikat itu memiliki pegangan majoriti.

Lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Sementara itu kadar tol dihapuskan pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam dan 5 pagi.

Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.


Tiada ulasan: