HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2019

Pas pandang serius kenyataan Nazri

Manzaidi Mohd Amin
MGF05092017_FASTAQIM008-681x454
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataan cadangan penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) tidak wajar keluar daripada pemimpin mana-mana parti, termasuk BN dan UMNO.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan yang memandang serius perkara itu berkata, sekarang bukan masa untuk mana-mana pemimpin bercakap mengenai sekolah aliran, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda perpaduan rakyat dan mengurangkan pergeseran kaum yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

“Politik pasca PRU14 harus mengekalkan kerukunan persefahaman yang didasari daripada semangat pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“SJK telah lama ditubuhkan di Malaysia, malah setiap tahun kerajaan memperuntukan sejumlah dana bagi membantu keperluan sekolah,” katanya kepada media

Beliau berkata, kedudukan SJK yang telah lama beroperasi dan semakin berkembang perlu dianggap sebagai sebahagian daripada sekolah bantuan kerajaan dan ia perlu ditambah baik serta dipantau dari semasa ke semasa.

Perkara paling asas, setiap SJK perlu mempunyai piawaian yang tinggi dalam penguasaan bahasa kebangsaan, selain perlu dijadikan satu indeks pencapaian yang utama.

Setiap pelajar SJK mesti fasih berbahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu termasuk menulis dan membaca kerana penguasaan Bahasa Melayu penting kerana ia identiti rakyat Malaysia.

Malang, sekiranya rakyat Malaysia tidak mahir berbahasa Melayu,” katanya

Lagipun, katanya, perkara itu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi teras kepada penggubalan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996.

Tambahnya, sistem Pendidikan Kebangsaan yang telah diselaraskan memperuntukan secara jelas bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum serta peperiksaan juga mestilah sama. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: