HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Februari 2019

Pengambilalihan konsesi lebuh raya ikut kemampuan kerajaan – Dr Mahathir

MALAYSIA GAZETTE

xMGF15022019_PC-PPBM_10-681x454
Dr. Mahathir Mohamad
LANGKAWI – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengambilalihan konsesi lebuh raya di tempat lain akan dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan.

Beliau berkata rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang merupakan langkah pertama dilakukan kerajaan bagi menunaikan manifesto pada pilihan raya umum lalu.

Katanya sejak mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan telah berfikir tentang kaedah untuk menunaikan janji mereka.

“Kita tumpukan kepada yang mampu kita lakukan iaitu lebuh raya yang berada di Kuala Lumpur tetapi kita akan perluaskan di tol tempat-tempat lain. Kita buat ikut kemampuan kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kampungku Sihat Peringkat Kebangsaan di Pusat Khidmat Parlimen Langkawi di sini hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan telahpun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Mengulas mengenai rundingan dengan Gamuda Berhad, Dr Mahathir berkata proses tersebut dilakukan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita bermula dengan beberapa tol sahaja kerana mengikut kemampuan kita… untuk membasmi atau menghentikan kutipan tol, kerajaan mesti beli jalan-jalan ini akan menyebabkan belanja yang besar kepada kerajaan,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: