HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2019

FGV rugi RM1 bilion

Norlaile Abd Rahman
 FGV




KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2018 berakhir Disember lalu berbanding keuntungan RM403 juta yang direkodkan pada tahun kewangan lepas.

Dalam kenyataannya, syarikat peladangan sawit terbesar negara itu berkata, kerugian itu disumbangkan terutamanya oleh susut nilai dan peruntukan (provision) berjumlah RM1.038 bilion.

Penurunan harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada tahun kewangan 2018 memburukkan lagi prestasi kewangan FGV dari segi operasi dan keuntungan.

Bagi suku keempat 2018, FGV merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM139 juta akibat susut nilai dan peruntukan berjumlah RM240 juta.

Tanpa susut nilai dan peruntukan, FGV merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai berjumlah RM101 juta bagi tempoh berkenaan, merosot berbanding keuntungan RM253 juta yang direkodkan suku sebelumnya.

Perolehan bagi suku keempat juga menyusut sejajar dengan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3.2 bilion berbanding RM4.3 bilion pada suku keempat 2017.

Prestasi kewangan FGV terjejas akibat kejatuhan 24.6 peratus harga MSM kepada purata RM2,053 se tan metrik bagi suku keempat 2018 berbanding RM2,723 se tan metrik pada tempoh sama tahun 2017.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: