HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Februari 2019

Antivaksin dan rupa Bumi, Adam: Bergurulah fahami Quran


   

Pelakon terkenal, Adam Corrie Lee Abdullah, hari ini tampil memberi nasihat ringkas buat pihak tertentu yang menggunakan hujah-hujah keliru tetapi disandarkan kepada Islam, misalnya untuk menyebarkan fahaman antivaksin dan bentuk Bumi.

Tidak ada kata-kata berbunga atau bermadah daripada Adam, sebaliknya terus ke hati.

"Kalau nak belajar memahami al-Quran, kena berguru," katanya Adam kepada Malaysiakini.

Adam ditemui pada perayaan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan di Subang Jaya hari ini.

Menurut Adam yang mengucap dua kalimah syahadah pada Julai 2007 itu pesanan sama disampaikan oleh para ulama sejak dulu lagi.

"Para ulama pun kata, kalau kita nak belajar memahami al-Quran, kita kena berguru.

"Tujuan berguru itu pula supaya bacaan kita betul, fahaman kita betul..." kata pelakon KL Gangster itu ketika diminta mengulas kontroversi fahaman antivaksin dan bumi leper yang secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi negatif umat bukan Islam terhadap Islam.

Dua pesan nabi

Antara lain kontroversi tersebut turut membabitkan penyanyi nasyid Suhaimi Saad.

Suhaimi melalui beberapa hantaran Facebooknya yang tular mencetuskan kemarahan netizen apabila mempertahankan pendirian untuk tidak memvaksin anak-anaknya.

Bekas penyanyi kumpulan In-Team itu turut menyangkal fakta-fakta saintifik dengan membuat tafsiran sendiri terhadap beberapa ayat-ayat Al-Quran dan menyimpulkan bahawa Bumi tidak berbentuk sfera.
Adam (kiri) menjadi panel forum di Subang Jaya hari ini
Mengulas lanjut, Adam menegaskan setiap umat Islam wajib percaya kepada al-Quran dan hadis, tetapi pada masa yang sama perlu merujuk kepada yang lebih berilmu agar tidak keliru.

"Kalau kita orang Islam dan kita tak percaya pada al-Quran dan hadis, itu ada masalah," katanya.

Menurut Adam lagi Nabi Muhammad SAW meninggalkan pesan penting kepada umat Islam sebelum baginda wafat dan dua perkara itu teramat berharga.

"Nabi kata kalau kita pegang dua-dua benda ini kita tak akan sesat sampai bila-bila," jelasnya lagi.

Adam sebelum itu tampil dalam satu sesi forum santai bertemakan Islam dan bdaya yang membincangkan sambutan Tahun Baru Cina dalam konteks Islam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof serta Duta Besar Cina ke Malaysia, Bai Tian.

Untuk rekod penentangan terhadap gerakan antivaksin turut berlaku di peringkat antarabangsa.

Platform YouTube pada Jumaat lalu mengesahkan akan menghalang mana-mana saluran yang mempromosi fahaman antivaksin daripada menyiarkan iklan kerana menganggap ia melanggar polisi mereka, iaitu video yang mengandungi kandungan berbahaya.


Tiada ulasan: