THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyifatkan ura-ura akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini, sebagai agenda politik pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
Menurut beliau, senarai ‘101 anggota Parlimen yang menyokong
perdana menteri meletak jawatan’ yang tular di media sosial itu juga
hanya satu spekulasi untuk mengelirukan rakyat serta menjatuhkan moral
dan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Vui Keong yang dihubungi Bernama berkata, beliau yakin tiada usul
undi tidak percaya yang akan dikemukakan oleh mana-mana pihak dalam
Dewan Rakyat terhadap Dr. Mahathir yang telah diberikan mandat
sepenuhnya oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu untuk
menerajui kerajaan PH.
“Saya yakin semua Anggota Parlimen daripada PH termasuk Anggota
Parlimen Warisan yang berjumlah 135 orang daripada keseluruhan 222
Anggota Parlimen, akan terus memberi sokongan penuh kepada Dr. Mahathir
sebagai perdana menteri kita,” katanya.
Baru-baru ini tular senarai 101 Anggota Parlimen dari seluruh
negeri yang didakwa akan menyokong desakan undi tidak percaya terhadap
Dr. Mahathir.
Menjelaskan mengenai usul tidak percaya, Vui Keong yang merupakan
Anggota Parlimen Batu Sapi berkata, sekiranya ada yang mengemukakan usul
berkenaan, maka terpulang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk
mempertimbangkan sama ada usul itu diterima atau tidak untuk dibahaskan
dalam Dewan.
“Sekiranya usul tersebut diterima oleh pihak Parlimen mengikut
peruntukan dalam Standing Orders (Peraturan Mesyuarat) Dewan Rakyat,
Speaker akan menyuruh Anggota Parlimen untuk berbahas dan selepas itu
undi,” katanya.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (4) memperuntukkan, jika
seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti
daripada Anggota Parlimen, beliau perlu meletak jawatan, melainkan jika
atas permintaannya, Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat akan bersidang untuk pertama kali tahun ini bermula 11 Mac sehingga 11 April.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah dijadualkan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat
Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan