Susulan kejadian kes jenayah yang melibatkan rumah-rumah
ibadat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat wujud keperluan supaya
masjid, surau, gereja, kuil dan rumah ibadat lain di seluruh negara
memasang kamera litar tertutup (CCTV).
"Jika berlaku pecah rumah ibadat atau sabotaj dan kecurian secara automatik polis dapat mengesan individu yang tidak bertanggungjawab.
"Ini sebagai salah satu usaha yang boleh diambil. Mungkin pemasangan CCTV ini membabitkan kos yang tinggi, tapi jika ada kemampuan pasang CCTV.
"Kita juga minta ketua polis negeri dan daerah untuk pantau isu (agama) yang membabitkan kemarahan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan kepada 174 penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara di Hotel Perdana, Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu membabitkan provokasi agama terhadap masjid dengan meletakkan patung seperti yang berlaku Klang pada 21 Februari lalu.
Mohamad Fuzi berkata, kebanyakan sekarang ini rumah ibadat tidak ada CCTV termasuk di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
"Macam kes patung berhala di surau itu, tiada saksi yang tampil ke hadapan dan ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan dan menyiasat.
"Namun, kita bernasib baik dan mendapat petunjuk untuk mengesan individu yang bertanggungjawab apabila seorang lelaki berjaya ditahan jam 6.15 petang di Klang Selatan, semalam,” katanya.
Tambah beliau, polis juga bekerjasama dengan jabatan agama dan pengurusan rumah ibadat untuk memantau kejadian jenayah dan membabitkan provokasi agama.
"Kita amat berharap semua masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak membuat provokasi dan mencaci penganut agama lain khususnya kepada Rasulullah SAW. Masyarakat Islam juga mesti faham sensitiviti kepercayaan rakan bukan Islam," jelas Mohamad Fuzi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan