HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Februari 2019

Tak perlu ragui vaksin yang diluluskan kerajaan, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa (baju jingga) bersama isteri, Zuraida Husin, 
menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah 
di Subang Jaya hari ini.
 
SUBANG JAYA: Semua vaksin yang dihasilkan di Malaysia diluluskan kerajaan jadi tidak timbul soal haram, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujhaid Yusof Rawa.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam itu berkata jemaah menteri pernah berbincang mewajibkan pemvaksian untuk semua orang.

Beliau menambah perkara itu dirujuk kepada jabatan mufti yang telah pun mengeluarkan fatwa mengenai vaksin.

“Kami jelas berpandukan fatwa yang ada, hukumnya harus dan boleh jadi wajib jika tidak mengambil imunisasi menjejaskan kesihatan anak. Tidak timbul soal haram,” katanya kepada pmberita selepas menghadiri acara sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah hari ini.
Juadah di majlis sambutan Tahun Baru Cina.
“Mereka yang membawa perdebatan ini seharusnya berhenti berbuat demikian kerana ia akan menjejaskan ketahanan anak-anak. Kita mempunyai statistik menunjukkan mereka yang tidak mengambil imunisasi akan sakit teruk kerana penyakit biasa.”

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad semalam berkata Kementerian Kesihatan akan membentangkan cadangan kepada jemaah menteri untuk mewajibkan imunisasi untuk kanak-kanak.

Kebimbangan mengenai penularan penyakit berjangkit meningkat selepas kematian seorang kanak-kanak di Johor Bahru yang dilapor meninggal dunia akibat jangkitan difteria minggu lepas. Empat daripada 5 kanak-kanak yang meninggal dunia tahun lalu akibat penyakit boleh dicegah itu tidak menerima imunisasi.

Sementara itu, Mujahid menggesa pihak berkuasa mengambil langkah segera terhadap mereka yang meletakkan patung berhala di pintu masuk sebuah surau di Taman Pendamar, Klang.

Beliau berkata ia boleh menimbulkan provokasi jika dibiarkan perkara itu berterusan.

“Kita tak mahu melihat negara kita dicemari dengan perbuatan sebegitu,” katanya.

Minggu lepas, penduduk terkejut apabila menemui patung “Datuk Kong” di pintu masuk Surau Sabilul Huda, dipercayai dicuri daripada sebuah rumah berdekatan.

Semalam, penduduk menemui 2 lagi patung di luar surau yang sama.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengarahkan polis menyiasat perkara itu, menyelarnya sebagai perbuatan terkutuk, berniat jahat, berbaur hasutan dan amat provokasi untuk menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Tiada ulasan: