HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Februari 2019

ERA PH, SEMUA ASET DIJUAL – NAJIB


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang suka menjual aset strategik yang dimiliki oleh kerajaan.

Beliau berkata penjualan terhadap aset seperti Tabung Haji (TH) melalui syarikat tujuan khas (SPV) di Tun Razak Exchange (TRX) dan juga IHH Healthcare Berhad yang merupakan perkhidmatan kesihatan kedua terbesar di dunia menjadi bukti nyata sikap PH yang tidak memikirkan kesan jangka masa panjang.

“Aset Tabung Haji bila dijual, kesannya adalah Tabung Haji tidak boleh bayar hibah pada masa akan datang kadar pada zaman BN (Barisan Nasional) dahulu, mesti berkurangan, jaminan itu mesti berkurangan.

“Kenapa Tabung Haji jadi sasaran, inilah saya rasa pelik sebab Tabung Haji adalah satu institusi yang menjadi kebanggaan kita yang sepatutnya kita pertahankan bukan kita cari jalan untuk melemahkan Tabung Haji.

“Sebelum pilihan raya, dia (PH) kata kawasan TRX itu tiada apa-apa, ada ‘lubang besar’ dia kata, ‘one big hole’… saya masih ingat lagi, kami difitnah seolah kami tidak bertanggungjawab tapi lepas dia menang, dia kata pula ‘inilah aset yang ternilai dalam negara kita’,” katanya ketika bercakap dalam program Sembang Santai Bossku bersama mahasiswa di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi pada Jumaat setelah program asal yang dijadual berlangsung di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditangguhkan tanpa sebab oleh pihak universiti.

Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
 

Tiada ulasan: