HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2019

PTPTN: Tak usah paksa mereka yang tak mampu, kata Najib


   

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menyarankan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi kelonggaran kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam urusan pembayaran hutang pendidikan mereka.

Najib berkata, selain memberi kelonggaran jumlah pembayaran, diskaun 20 peratus sekiranya selesai melangsaikan pinjaman dan penukaran pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang harus dikembalikan seperti di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

"Tak usah paksa mereka kalau mereka tak mampu, kalau mereka tak mampu (bayar) RM200, bayar RM100. Kalau tak mampu RM100, RM50 pun tak apa. Asalkan dia bayar balik.

"Kalau dia (peminjam) bayar balik (sepenuhnya) bagi diskaun 20 peratus. Dan kalau dia pelajar cemerlang kelas pertama tukarkan pinjaman itu kepada biasiswa," katanya ketika program Sembang Santai Bossku di Bangi anjuran pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya salah seorang pelajar yang bertanyakan mengenai kebajikan mahasiswa.

"Kalau sekiranya rezeki bertambah (menang PRU ke-14) memang kita sanggup buat lebih banyak lagi.

"Tapi saya tak mahu janji. Saya pantang janji. Sebab saya tahu dosa kalau tak boleh tunaikan. Jadi kalau saya janji, saya pasti akan tunaikan," katanya yang disambut dengan sorakan kira-kira 50 pelajar yang hadir.

Sebelum PRU lalu, PH berjanji akan membenarkan peminjam dengan gaji RM4,000 ke bawah menangguhkan bayaran, namun janji manifesto itu tidak ditunaikan atas alasan kedudukan kewangan negara belum kukuh.

Pada September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegur sikap sesetengah peminjam yang culas membayar semula hutang pengajian mereka.

Kata Mahathir, kegagalan peminjam menjelaskan hutang masing-masing menyebabkan PTPTN menanggung beban sebanyak RM36 bilion.


Tiada ulasan: