HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2019

Anwar ungkit 'janji' tak dilunas Utusan

 
   

Sejarah Utusan Malaysia dan Anwar Ibrahim memang berwarna-warni.

Pernah mendukung Anwar semasa menjadi timbalan perdana menteri suatu ketika dulu, akhbar yang pernah menjadi milik Umno itu menjadi antara media paling ke depan mengkritik beliau selepas menjadi pembangkang.

Sejumlah saman juga difailkan Anwar terhadap Utusan dan pada banyak ketika syarikat akhbar tersebut terpaksa membayar ganti rugi apabila diselesaikan melalui mahkamah.

Tiba-tiba selepas sekian lama Anwar menjejakkan kaki semula ke pejabat akhbar berkenaan hari ini.  Tujuannya ialah menghadiri majlis anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Ia agak janggal namun semuanya berjalan dengan lancar dan mesra petang ini.

Cuma rupa-rupanya di sebalik apa yang berlaku, ada 'hutang' yang belum dilunaskan oleh syarikat Utusan. Ia didedahkan Anwar semasa menyampaikan ucapannya tadi.

Kata Anwar - semasa itu masih ditahan di Penjara Sungai Buloh - apabila Utusan memohon maaf atas laporan mereka terhadap beliau dan kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah beliau ada membuat permintaan.

Amin... amin...

"Saya bagi syarat, saya kata ada satu syarat. Yang lain tak penting.

"Saya nak buku-buku penting terbitan Utusan, termasuk sastera, dikirim pada saya di Penjara Sungai Buloh," katanya sambil disambut tepukan gemuruh orang ramai yang hadir di majlis tersebut.

Namun Anwar meminta mereka bersabar.

"Jangan tepuk lagi... Saya belum terima (buku-buku tersebut)," sambungnya. Kali ini orang ramai ketawa.


Anwar diapit Aziz dan Rozaman
Anggota parlimen Port Dickson berkata dalam politik beliau bersikap terbuka dan mengambil kira kepentingan yang lebih besar, termasuk memartabatkan masyarakat Melayu serta Malaysia.

"Oleh itu saya menerima undangan ini, dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan, termasuk buku-buku yang dijanjikan itu dikirim kepada saya," katanya sekali lagi berjenaka.

Sementara itu semasa sidang media Anwar ditanya mengenai kehadiran di pejabat akhbar yang pernah menyiarkan pelbagai laporan negatif terhadapnya.

Katanya Utusan kini bukan lagi dimiliki oleh Umno. Malah katanya jika ia masih dikuasai parti pembangkang itu pun beliau tiada masalah terhadap akhbar tersebut.

Ditanya sama ada kehadiran beliau ke situ akan membuka ruang untuk akhbar tersebut kembali dilanggan jabatan kerajaan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Abdul Aziz Sheikh Fadzir segera mencelah: "Amin... amin..."

Anwar bagaimanapun berkata isu langganan akhbar berkenaan adalah hal yang sudah berlalu dan kedatangannya adalah untuk menghadiri majlis anugerah tersebut.

"Saya percaya kerajaan baru ni menghormati media dan kebebasan itu akan dapat dipertahankan," katanya.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Aziz Sheikh Fadzir dan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Rozaman Ismail.

Tiada ulasan: