POLITIK tanah air masih
bermain dengan emosi yang diselubungi naratif perkauman dan permusuhan
kepuakan, serta komplot untuk saling menjatuhkan hingga menyebabkan rasa
muak rakyat. Usaha memacu negara menuju Wawasan 2020 cetusan Tun Dr
Mahathir Mohamad sejak memimpin selaku Perdana Menteri Keempat dahulu
dilihat bakal 'tertunda' lagi.
Di era beliau selaku peneraju ketujuh
negara ini, desas-desus untuk beliau segera berundur dan digantikan
semakin galak direaksikan. Sekali gus, proses demokrasi terus
dipertaruhkan ke medan spekulasi dan risiko yang tentunya mengundang
rasa resah dan risau rakyat. Ia gara-gara ahli politik yang gelojoh dan
tidak menghargai nilai mandat dipercayakan rakyat.
Sehubungan itu, sampai masanya Tun Dr
Mahathir berhijrah ke pendekatan dan model yang meyakin serta
menyelesaikan. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) digagaskan PAS
menjadi penawar tersedia untuk merawat racun dalam politik negara
ketika ini. Ia jelas meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara
sebagai agenda utama.
Paling penting, BPMS berpaksikan kepada
Islam yang merupakan dasar terutama dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini
dapat diperteguhkan lagi menerusi dukungan konsep Kerajaan Teknokrat
yang sangat menekankan aspek kompetensi dan integriti. Pemimpin politik
masa kini menuntut batang tubuh yang mampu memikul masa depan lebih
mencabar.
Malangnya, isu seperti kelulusan palsu
dan kegagalan berfungsi di jawatan Kabinet telah mengecewakan banyak
pihak dan merencatkan reformasi serta harapan dari gelombang perubahan
dizahirkan rakyat pada PRU14 lalu. Ia boleh diakui sebagai keperluan
mendesak agar Malaysia Baharu tidak terus dibayangi slogan indah lagi
retorik setelah pula banyak janji kepada rakyat dan negara tidak
tertunai.
Solusi tersebut juga telah bersiap sedia
di dalam PAS yang dapat disaksikan pada Ahli-ahli Parlimennya dengan
latar belakang berkemampuan dan berkemahiran tersendiri. Uniknya, mereka
ini dibantu pasukan teknokrat di belakang tabir yang aktif menjadi
'penasihat' banyak perkara termasuk berkaitan hal ehwal polisi dan
pentadbiran negara.
Namun, seandainya gagasan dan konsep ini
masih tidak menjadi ramuan yang selesa dan perlu dimanfaatkan, kami
tetap menghormati Tun untuk mempertahankan kepimpinan beliau selagi
kepentingan agama, bangsa dan negara terjamin. Sebarang usaha menukar
mandat ini mestilah berlaku mengikut saluran PRU yang tentu sekali wajar
diadakan mengikut tempoh matangnya.
"Terus Mara"
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan