HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2019

Mahathir, Loke menteri paling diyakini


   

Kerajaan PH yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohammad kelihatan lemah disebabkan kelemahan sistem komunikasi dalam kalangan pemimpin utama gabungan itu sendiri.

Sebuah syarikat perhubungan awam, Citrine One Sdn Bhd (Citrine One), berkata kemampuan menteri kabinet menyampaikan maklumat yang lengkap dan tepat memberi kesan kepada tahap keyakinan orang awam.

Katanya daripada semua anggota kabinet PH yang ada sekarang, empat pemimpin utama yang paling diyakini orang ramai ialah Mahathir sendiri, diikuti Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di tempat ketiga.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berada di tempat keempat.

Hasil kaji selidik Citrine One, Mahathir menjadi pilihan sebagai anggota kabinet paling berkesan melibatkan diri dengan pemegang taruh dengan mendapat 43 undi.

Loke pula mendapat 41 undi, berbanding Lim 24 undi dan Gobind 21.

Pengurus Citrine One, Ivlynn Yap, berkata kemampuan menteri terbabit menyampaikan maklumat dengan mudah menjadi antara sebab mereka terpilih sebagai menteri paling diyakini.

“Cara pemilihan ayat oleh Mahathir sendiri memberi kesan yang mendalam sehingga mampu menggulingkan kerajaan terdahulu,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Ivlynn Yap
Justeru kata Yap, rakyat melihat perdana menteri sebagai tokoh yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan melibatkan kepentingan negara.

Namun katanya persoalan yang timbul daripada keadaan itu ialah, adakah menteri lain akan terus bergantung dengan kredibiliti perdana menteri.

Menurut Yap menteri PH perlu belajar untuk menguruskan komunikasi secara cekap kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka mencapai keputusan yang tepat semasa menggubal sesuatu dasar atau menyelesaikan masalah.

Katanya menteri juga harus belajar membuat sesuatu keputusan yang tepat dan konsisten agar kenyataan yang dibuat tidak mengelirukan pihak lain.

“Sekarang kita lihat terlampau banyak isu kerajaan yang tidak jelas.

"Jadi, menteri haruslah memastikan kerjasama diperkemaskan,” katanya.

Menurut Citrine, kaji selidik komunikasi strategik menteri itu dijalankan dari selama sebulan, dari 22 Jan hingga 21 Feb lalu melihatkan 321 responden di seluruh negara.

Daripada jumlah itu 56.4 peratus ialah wanita dan selebihnya lelaki. Mengikut pecahan kaum, responden Melayu adalah yang paling ramai melibatkan 43.69 peratus diikuti Cina (17.8 peratsu); India (34.6 peratus) dan lain-lain (4 peratus).


Tiada ulasan: