HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2019

Umno, PAS takkan 'kahwin': Sama-sama anak jantan - Annuar

MALAYSIAKINI

Umno tidak akan 'berkahwin' dengan PAS dalam membentuk sebuah kerjasama bagi memperjuangkan matlamat penyatuan umat Melayu dan Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata Umno dan PAS akan terus kekal sebagai sebuah parti mengikut acuan masing-masing namun berjuang demi sebuah matlamat yang sama.

Beliau berkata Umno dan PAS adalah sama-sama 'anak jantan' dan bagaikan adik beradik walaupun telah mengikut haluan berbeza sejak sekian lama sebelum ini.

"Adik beradik, sama-sama anak jantan nak kahwin bagaimana? PAS dan Umno sering berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi perjuangan kedua-dua parti tetap sama iaitu mempertahankan maruah dan kepentingan umat Islam serta Melayu.

“Kita (Umno dan PAS) perlu bersatu semula sebagai adik-beradik, kita hilang kekuatan kerana kita berpecah-belah jadi mulai sekarang kita berjuang dengan cara masing-masing tapi matlamat kita tetap satu,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Ceramah Perdana: Islam Memimpin’ di Bukit Katil di Melaka malam tadi.

Benci, kelahi ada batas

Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata beliau sedih dengan senario pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila umat Islam dan Melayu berpecah dengan memilih parti yang dianggotai mereka seterusnya memecahkan undi golongan itu.

Beliau berkata lebih menyedihkan apabila ada generasi muda yamg kurang memahami sejarah negara dan memilih hanya kerana marah mereka kepada Umno dan PAS seterusnya tersalah pilih.

"Islam jadi titik menyatukan kita semua. Dengan cabaran yang mendatang kini kita perlu bersatu.

Benci berkelahi ada batas, boleh jadi orang itu jadi sahabat kita suatu hari nanti. Lebih lagi dalan Islam kita semua adalah bersaudara.

"Kita adik beradik memang tak boleh nikah tetapi apa yang penting kita bersatu demi satu matlamat. Jadikan pertemuan demi pertemuan kembalikan kekuatan ini," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: