Selepas seorang operator kilang berusia 22 tahun, A Taneson dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas pertuduhan memuat naik satu hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW, seorang lagi warga emas dijadualkan didakwa esok atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Sumber dari pejabat pendakwa di Pejabat Peguam Negara juga memaklumkan bahawa lelaki yang ditangkap kerana meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda di Klang juga akan didakwa esok.
"Kedua-dua mereka akan didakwa secara berasingan, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Klang," kata sumber itu, sambil menambah bahawa mereka akan didakwa mengikut Kanun Keseksaan.
Warga warga emas, berusia 68 tahun dari Mentakab itu ditahan minggu lalu selepas beberapa laporan polis difailkan ke atasnya atas dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW.
Suspek berusia 37 tahun yang ditahan kerana meletakkan patung 'Datuk Gong' dan patung Hindu di surau Klang pula dipercayai mengamalkan ajaran sesat dan menjadi "gila isim."
Taneson hari ini didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.
Tindakannya didakwa berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan orang bukan beragama Islam di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan