HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2019

Apakan daya…PH warisi masalah BN – Wan Azizah

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEMENYIH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha untuk menunaikan setiap janji mereka meskipun berdepan dengan kekangan sejak mengambil alih pentadbiran negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Presiden PH berkata janji-janji PH sewaktu menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dulu, ditawarkan tanpa menyedari betapa runcingnya masalah yang akan diwarisi selepas membentuk kerajaan, lapor Bernama.

“Sekarang kita ditempelak. Kita mahu tunaikan janji sedaya upaya, apakan daya…kita warisi (masalah) daripada kerajaan (terdahulu yang berkuasa) 60 tahun.

“Kita baru sembilan bulan (membentuk kerajaan) bagilah kita peluang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan gotong royong di Surau Istiqamah Seksyen 6, Bandar Rinching di sini hari ini, dalam program turun padang membantu kempen calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Dr Wan Azizah berkata apa yang ditawarkan PH sewaktu PRU-14 adalah bersifat menyeluruh bagi memperbaiki keadaan negara dan meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata sebarang janji yang dibuat perlu mengambil kira aspek kemampuan untuk melaksanakannya. Bagi PRK Semenyih, beliau berkata PH menawarkan calon anak muda untuk berkhidmat dengan masyarakat di Semenyih bagi mengukuhkan dan memperbaiki keadaan di kawasan ini.

Turut hadir dalam gotong-royong itu adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan calon PH Muhammad Aiman Zainali.

Pada PRK Semenyih, Muhammad Aiman berdepan cabaran Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, daripada PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Tiada ulasan: