HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Khoo Kay Kim yang tiada galang ganti


    BELANSUNGKAWA | Saya terkejut dan amat bersedih dengan pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim pagi tadi.

Sejurus mendapat berita itu, saya menelefon dan bercakap dengan isteri dan anaknya yang juga seorang sahabat, Eddin, bagi menyampaikan ucapan takziah dan memohon maaf kerana tidak sempat melawat hari ini kerana perlu ke Jeddah untuk Sidang Kemuncak OIC.

Pada hujung Mac lalu, saya sekeluarga menziarahinya di rumah. Beliau sekeluarga menjamu kami makan malam yang lazat. Tetapi Prof tidak berselera. Beliau hanya makan mi goreng, itu pun amat sedikit.

Beliau kurus dan cengkung dan sering berulang-alik ke Pusat Kesihatan Universiti Malaya.

Tetapi matanya tetap bercahaya seperti biasa. Bicaranya berisi dan berhemah seperti lazimnya.

Walaupun tubuhnya kekurangan tenaga, mindanya tetap cerdas bergeliga.

“Awak gembira?”, ayat pertamanya apabila saya duduk di hadapannya sebaik tiba di rumahnya. Saya faham soalan itu lalu menjawab, “Ya Prof”. Beliau melemparkan senyuman lebar ke arah saya dan berkata, “Apa yang penting awak gembira dengan apa yang awak buat. Buatlah dengan terbaik”.
Itu juga ayat yang sering diulanginya apabila menasihati para pelajarnya.

Namun dia tetap juga mengulang apa yang selalu diperkatakan kepada saya, dan kepada orang lain juga - “Kalau awak ikut nasihat saya dan melanjutkan pengajian, awak akan jadi profesor yang baik”. Saya hanya mampu senyum.

Di Jabatan Sejarah UM

Prof Khoo ialah mahaguru saya. Saya mengambil pengkhususan dalam bidang Sejarah di Universiti Malaya untuk pengajian ijazah Sarjana Muda Sastera pada awal 1980-an. Beliau ialah ketua jabatan Sejarah.

Saya masih ingat kuliah pertama Sejarah Malaysia ketika tahun satu. Prof Khoo memulakan kuliahnya dengan berkata, “Sejarah adalah fakta, bukan apa yang anda fikir tentang masa lalu”.

Katanya lagi, “Sejarah juga adalah penafsiran fakta tersebut. Anda masuk universiti untuk belajar menafsir fakta sejarah. Kalau hendak menghafal fakta sahaja, anda tidak perlu masuk universiti."

Beliau mengingatkan bahawa penafsiran mestilah tepat. Dalam salah satu peperiksaan, kami diminta menjawab setiap soalan dengan tidak lebih daripada 40 patah perkataan. Rasionalnya, “Kalau anda tulis panjang-panjang, anda goreng saja!”.

Prof Khoo sentiasa mengingatkan pelajarnya bahawa teras sejarah ialah ‘primary sources’ (rujukan primari). Kami diajar tentangnya dengan menulis sejarah tempatan: kampung, sekolah atau daerah kami, dengan menggunakan dokumen-dokumen asal atau temubual – rujukan primari.

Prof Khoo pensyarah yang paling saya minati. Beliau memang minat mengajar dan melakukannya dengan cara yang menarik. Menghadiri kelasnya umpama mengikuti cerita perjalanan negara.

Di samping kelas dan bukunya, saya banyak belajar daripada Prof Khoo melalui perbincangan santai di biliknya di tingkat atas Jabatan Sejarah UM, bilik yang masih digunakannya sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Perjuangan yang sepi

Prof Khoo telah menghasilkan banyak rujukan yang seminal (berpengaruh besar) tentang sejarah Malaysia. Beliau antara pelopor yang menulis sejarah Malaysia dari perspektif kita – ‘historiografi berpusat-Malaysia (Malaysia-centric)’, iaitu anjakan paradigma daripada penulisan terdahulu yang ‘berpusat-Eropah (eurocentric)’.

Beliau pelopor penulisan ‘sejarah sosial’ Malaysia. Baginya, untuk berbicara tentang Malaysia dengan bermakna, amatlah penting untuk memahami masyarakatnya dengan mendalam. Tanpa kefahaman yang rapi, hampir mustahil untuk membuat analisis yang tepat akan proses sosial, politik atau perkembangan ekonominya.

Syarahan akhirnya yang saya ikuti ialah semasa peluncuran bukunya, I, KKK: The Autobiography of a Historian, pada 12 April 2017, yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Buku tersebut diakhiri dengan pasca-skrip: “Saya sentiasa merasakan yang pencapaian saya amat sedikit. Saya membuat kesimpulan bahawa sekiranya anda rakyat Malaysia yang tulen, anda kesunyian”.

Saya hanya boleh mengagak mengapa beliau mencatatkan demikian.

Sebagai seorang Peranakan yang menguasai bahasa dan budaya Melayu lebih baik daripada ramai Melayu, yang tahu bahawa 13 Mei 1969 bukanlah satu-satunya rusuhan kaum yang pernah berlaku, memainkan peranan penting dalam penggubalan Rukunegara, dan menghidupkan naratif Malaysia yang tulen – berbilang-kaum dan moderat – dalam keluarganya, saya dapat merasakan segala usahanya yang bersungguh-sungguh selama ini untuk menjadi rakyat Malaysia tulen adalah satu perjuangan yang sepi.

Sultan Nazrin menggelar Prof Khoo sebagai ‘ensiklopedia berjalan sejarah Malaysia’. Bagi saya, beliau ilmuan-sejarawan ulung – tiada tandingannya dan tiada penggantinya.

Saya tidak mengikut nasihat Prof Khoo untuk menjadi pensyarah. Tetapi semasa berbual-bual dengannya pada malam hujung Mac itu, saya berjanji kepadanya untuk membantu Eddin menghimpun, menterjemah dan menerbitkan semua penulisannya yang belum diterbitkan, agar menjadi himpunan pemikiran Sejarah Malaysia paling komprehensif pernah dihasilkan seorang rakyatnya.

Tanpa disangka itulah perbualan terakhir dengannya. Kini saya bertanggungjawab menunaikan janji itu.


*SAIFUDDIN ABDULLAH adalah Menteri Luar Malaysia.


Tiada ulasan: