HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Hadi ingatkan ahli PAS tentang 'syaitan bisu'

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggelarkan anggota parti itu yang meninggalkan pertubuhan berkenaan kerana tidak memberikan walak sebagai "syaitan bisu" dan "pengecut".

Dalam kenyataannya hari ini Abdul Hadi berkata aspek walak dan taat menjadi rukun kepada gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan agama.

Katanya perkataan walak membawa maksud patuh, kasih dan setia dengan ikhlas kepada perjuangan Islam kerana Allah.

"Adapun taat bererti kepatuhan mengikut perintah saja.

"Maka ketaatan menjadi sebahagian daripada sifat walak yang mesti dikukuhkan dengan kasih dan setia dengan ikhlas yang tidak berbelah bahagi, bagi mencapai tujuan walak," kata Abdul Hadi dalam kenyataan panjang lebarnya.

Memberikan beberapa contoh bagaimana orang Islam mesti mentaati pemimpin anggota parlimen Marang itu menjelaskan konspek taat dan walak wajib dihayati oleh kumpulan Islam dalam semua keadaan, termasuk ketika melakukan pendekatan damai melalui amalan demokrasi.

"Konsep ini juga tempat menguji kesetiaan ahli kepada jemaah Islam.

"Seseorang ahli yang setia tidak akan meninggalkan jemaah pada masa menang dan kalah, rebah dan bangun, selagi Islam menjadi akidah perjuangan yang tidak dihapuskan," katanya.

Patuh strategi pemimpin
 
Menurut Abdul Hadi tidak menjadi kesalahan untuk orang Islam menjalin kerjasama bersifat tahaluf (gabungan) atau taawun (kerjasama) dengan bukan Islam dan menegakkan kebenaran.

Namun, tegas Abdul Hadi, Islam mengharamkan umatnya memberikan walak kepada orang bukan Islam, bahkan melabelkan mereka - yang mengharapkan kemenangan dengan sikap walak kepada orang bukan Islam itu - sebagai munafik.

"Maka cukuplah bagi ahli PAS memahami secara nyata, betapa mereka yang telah meninggalkan perjuangan Islam tanpa pedulikan wala’ dan taat kepada jemaah menjadi syaitan-syaitan bisu yang pengecut terhadap musuh dan berani terhadap Islam," katanya.
Gambar fail
Kenyataan itu dibuat ketika PAS semakin giat menjalin hubungan kerjasama dengan Umno yang dimusuhi parti terbabit selama berpuluh-puluh tahun lalu.

Kedua-dua parti itu juga mendakwa bakal menerima piagam bersama sebagai memeterai kerjasama berkenaan secara rasmi.

Langkah itu bagaimanapun dilihat mungkin menyebabkan sesetengah anggota PAS berasa kurang senang, terutama dalam kalangan mereka yang pernah mengalami kesukaran ketika Umno dan BN berkuasa.

Kenyataan-kenyataan keras dibuat pemimpin kanan PAS - termasuk Abdul Hadi - terhadap Umno juga dilihat bercanggah dengan pendekatan diambil parti itu selepas PH berjaya menguasai Putrajaya dan hampir semua negeri di negara ini.

Kata Abdul Hadi walak dan taat dalam sesuatu pertubuhan adalah wajib dan ahli mesti memberikan keyakinan mereka kepada pemimpin.

Katanya pemimpin pula mengendalikan agenda perjuangan mengikut strategi yang dilihat sesuai.

"Walak dan taat dalam berjemaah adalah wajib dengan kepercayaan yang wajib diberi kepada kepimpinan yang mengendalikan perjalanan sesuatu perjuangan mengikut strategi yang dilihat oleh kepimpinan utama, dan diatur dalam perkara yang bukan dinaskan wajib, halal dan haram secara mutlak yang ketaatannya juga wajib secara mutlak," katanya.


Tiada ulasan: