HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mei 2019

ALASAN KIT SIANG LEMAH-ISHAM JALIL

Wartawan Watan-Online

Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil menempelak alasan yang diberikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menarik diri daripada berdebat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya alasan Kit Siang lemah dan lembik apabila konon bimbang program tersebut menimbulkan isu perkauman dan agama.

Beliau berkata debat tersebut jelas tidak menyudutkan isu perkauman dan agama apabila tajuk yang dipersetujui telah mengkhususkan mengenai isu rasuah dan integriti.

“Sekiranya ahli panel sengaja lari tajuk dengan niat mensensasi atau retorik kaum dan agama, moderator dan rakyat akan cepat menghidunya dan taktik itu tidak akan menjadi.

“Sebab itu alasan Lim Kit Siang tersebut tidak boleh dipakai dan tidak diterima akal dan Datuk Seri Najib adalah seorang yang moderat, beliau tidak pernah pun membawa isu-isu kaum dan agama yang melampau selama ini,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebook beliau pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Isham yang menyokong penganjuran debat tersebut memberi pandangan bahawa alasan sebenar pengunduran Kit Siang daripada cabaran yang beliau kemukakan sendiri itu adalah kerana takut mendengar fakta sebenar dan kebenaran dari Datuk Seri Najib sendiri secara berhadapan.

Katanya selain tidak mempunyai hujah dan bukti yang mencukupi berkenaan tuduhan-tuduhan serta fitnah yang dilemparkan selama ini, Kit Siang juga dilihat hanya berani “kutuk belakang” seperti seorang pengecut.

“Beliau (Kit Siang) juga takut ditanya berkenaan skandal rasuah bungalow bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang melibatkan seorang lagi kleptokrat iaitu anaknya sendiri Lim Guan Eng.

“Beliau takut ditanya berkenaan skandal beratus juta terowong Pulau Pinang yang juga melibatkan kleptokrat anaknya sendiri Lim Guan Eng.

“Beliau takut kalah oleh sebab-sebab di atas lantas memalukan diri sendiri di hadapan penyokong-penyokongnya sendiri dan rakyat,” hujan Isham selain menyifatkan pengunduran Kit Siang menunjukkan sikap sebenar sebagai seorang penakut dan pengecut.


Tiada ulasan: