HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Wujud kecuaian teknikal TNB kenakan caj bil elektrik tinggi – Bee Yin


Kumara Sabapatty


MGF16102018_SIDANG-DEWAN-RAKYAT22-681x454
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin


PUTRAJAYA – Kerajaan mengakui wujud kesilapan teknikal terhadap caj bil elektrik baharu yang dikenakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada pengguna untuk bulan Mei ini yang didakwa lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan syarikat utiliti itu bertanggungjawab ke atas kecuaian tersebut mengikut akta bekalan elektrik sedia ada.

Katanya, TNB telah dipanggil oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam mesyuarat tergempar pagi tadi untuk mendapatkan penjelasan berhubung masalah caj bil elektrik yang lebih tinggi sehingga mencetuskan kemarahan pengguna.

Menurut Bee Yin, beliau difahamkan TNB dalam mesyuarat itu telah mengemukakan tiga sebab kepada masalah berkenaan mengikut perspektif mereka namun pihaknya tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

“Kami akan siasat sebab berlaku kecuaian kesilapan teknikal daripada pihak TNB dalam caj tarif elektrik itu yang setakat ini merekodkan 300 aduan pengguna dari seluruh negara.

“Kami tidak puas hati daripada tiga sebab yang diberikan TNB pagi tadi, saya sudah mengarahkan ST siasat perkara ini dan bertindak mengikut undang undang sekiranya mereka (TNB) bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di sini.

Tambah beliau, ST boleh mengeluarkan notis kepada TNB untuk mengambil langkah segera menangani masalah barbangkit itu.

Menurutnya, mengikut Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990 yang digunapakai TNB hendaklah memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna elektrik dan ST boleh bertindak atas segala ketidakpatuhan itu termasuk pendakwaan di mahkamah.

Bee Yin, menambah walaupun berlaku kecuaian, syarikat utiliti itu  perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi sambil menafikan ia tidak berpunca daripada meter pintar yang hanya melibatkan Melaka memandangkan aduan diterima dari seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Justeru menteri berkenaan juga mengakui 300 aduan yang diterima setakat ini adalah sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding aduan normal yang diterima daripada pelanggan untuk tempoh yang sama bagi beberapa tahun sebelum ini.

Malah katanya, ST akan mengambil masa dua minggu untuk menyiasat segala aduan yang dikemukakan pengguna.

Bee Yin juga menafikan salah satu sebab yang diberikan TNB berkait rapat dengan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kenaikan surcaj merupakan punca kenaikan bil baharu.

“Tidak ada apa apa surcaj atau penukaran dari segi tarif berlaku (bil elektrik) sebab masalah ini terbaharu dan berlaku pada Mei ini yang mana tarif sama cuma kiraan pada bil tidak sama itu masalah sekarang,” ujarnya.

Selain itu, Bee Yin meminta pengadu dan pengguna yang mengalami masalah tersebut supaya memberikan sedikit masa untuk melakukan siasatan bagi memastikan pihak yang bersalah.

Malah jelas beliau, ST juga telah bermesyuarat dengan TNB dan mengingatkan semua pemegang lesen membekal tenaga perlu patuh kepada akta berkaitan.

“Mereka perlu ada standard perkhidmatan yang disenaraikan dan kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan.

Bee Yin turut memberi jaminan kepada pengguna yang menerima caj bil elektrik yang jauh lebih tinggi daripada biasa bahawa kerajaan akan mendengar masalah mereka. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: