HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Orang Islam tahu rasuah juga dosa besar, kata Mufti K'tan


   

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, berkata orang Islam di negara ini sedar bahawa perbuatan rasuah juga adalah satu dosa, sepertimana meninggalkan amalan puasa atau tidak menutup aurat.

Namun, jelas Mohamad Shukri, Islam perlu dilihat secara menyeluruh dan bukannya mengambil serpihan untuk memastikan segala kemungkaran dapat ditangani secara berkesan seleras dengan kehendak agama.

"Islam tidak boleh dilihat secara serpihan, sebaliknya secara menyeluruh umpama sebuah kereta.

"Rasuah adalah perbuatan yang melanggar syariat Islam, kita bersyukur kalau ada pemimpin mahu melihat Islam itu secara menyeluruh bukannya serpihan.

"Islam itu bingkainya adalah akidah, syariat dan akhlak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac lalu, menzahirkan rasa kesal khususnya terhadap individu beragama Islam yang terlibat dalam gejala rasuah.

Beliau berkata tuntutan agama sering menekankan untuk melakukan amalan wajib dan menjauhkan diri daripada yang dilarang.

“Malangnya, kita tidak sedar atau memilih untuk tidak ambil berat mengenai betapa besarnya dosa kita yang amalkan rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri.

“Seolah-olah bagi kita integriti itu bukan tuntutan Islam sehingga kita tidak merasa malu apabila melakukannya dan jika kita didapati melakukannya, ia tidak dipandang hina,” kata Mahathir.

Sementara itu Mohamad Shukri berkata adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam termasuk penguasa untuk memperbaiki kerosakan berkenaan.

"Mana-mana kerosakan itu perlu diperbaiki, orang tidak menutup aurat itu kerosakan, begitu juga dengan yang mengambil rasuah juga satu kersoakan dan ia perlu diperbaiki," katanya.


Tiada ulasan: