HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mei 2019

Jasad tepi kolam air panas

Hasbi Sidek
 
 
 

MAYAT lelaki tempatan ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi Jalan Ipoh- Rawang berdekatan Kolam Air Panas Selayang, pagi hari ini.

Difahamkan, lelaki itu dipercayai mati akibat sesak nafas kerana saluran jantung tersumbat dan tidak berfungsi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mayat dikatakan ditemui orang awam di kawasan semak di lokasi sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis yang kemudiannya bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, berdasarkan warna kulit dan parut suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG), pihaknya percaya lelaki berkenaan warga tempatan, namun masih tidak dapat dikenal pasti identiti.

“Polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyatakan menemui mayat di dalam semak di tepi. Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mayat berkenaan dipercayai lelaki berbangsa India berdasarkan warna kulit dan terdapat kesan suntikan BCG di lengan sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, mayat ditemui dalam keadaan tertiarap kira-kira 12 meter dari jalan utama di kawasan semak belakang perhentian bas Jalan Ipoh-Rawang.

Menurutnya, lelaki berkenaan memakai baju berkolar warna hitam dan berseluar pendek paras lutut berwarna hitam merah.

“Pemeriksaan pada badan terdapat luka kecil di bahagian jari ibu kaki kanan dan kiri selain luka kecil di bahagian lengan tangan kiri.

“Terdapat kesan darah di bahagian muka dipercayai kesan akibat keadaan tertiarap. Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti.

“Anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman yang hadir di tempat kejadian mendapati tiada sebarang barang kes berkaitan dikesan. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian saluran jantung tersumbat dan tidak berfungsi.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Tiada ulasan: