Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata bahawa negara ini menyokong perdagangan bebas dan adil serta tidak mengamalkan ketidakadilan mata wang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Washington DC hari ini yang meletakkan Malaysia dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang.
Terdahulu, The Edge melaporkan bahawa selain Malaysia, turut berada dalam senarai itu adalah China, Jepun, Korea, Jerman, Itali, Ireland, Singapura, dan Vietnam.
“Malaysia mengguna pakai rejim pengapungan tukaran mata wang asing. Kadar tukaran ringgit adalah ditentukan pasaran dan tidak bergantung kepada eksport.
“Seperti yang dimaklumkan di dalam laporan tersebut, intervensi BNM beberapa tahun lalu dilakukan melalui kedua-dua hala dalam pasaran tukaran wang asing.
“Sebarang intervensi adalah terhad demi untuk memastikan pasaran yang teratur dan mengelakkan kemeruapan tukaran asing berlebihan yang mungkin boleh menjejaskan kestabilan makroekonomi,” kata kenyataan itu.
Menurut BNM, fakta menunjukkan ringgit sejak beberapa tahun lalu berhadapan dengan pelbagai episod naik dan turun sekali gus menunjukkan fleksibiliti dalam tukaran asing.
“Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan sangat terbuka, akaun semasa baki pembayaran Malaysia ditentukan oleh perkembangan dalam dan luar negara termasuk pusingan ekonomi dan struktur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan