PUTRAJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Jabatan Peguam Negara menggugurkan dakwaan terhadap 2 aktivisnya yang “mempertahankan” beberapa keluarga diusir dari rumah pangsa awam di Pulau Pinang tahun lalu dan berkata, polis sepatutnya memfokuskan kes lebih besar.
Pemimpin PSM, S Arutchelvan mempersoalkan keperluan meneruskan kes itu kerana isu berkenaan sudah selesai dan tiada unsur penggunaan kekuatan fizikal atau bahasa kasar.
Katanya, kes membabitkan Karthiges Rajamanickam dan Nathan Munusamy yang didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dijadualkan Julai ini.
“Kenapa polis mahu meneruskan kes itu? Kes itu boleh dianggap selesai kerana keluarga itu sudah ditawarkan rumah lain di Seberang Perai. Tiada unsur kekasaran dilaporkan berlaku pada hari itu.
Karthiges dan Nathan didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Kanun Keseksaan.
Pendengaran pertama yang sepatutnya diadakan 9 dan 10 Mei lalu, ditangguhkan ke Julai kerana timbalan pendakwa raya memohon untuk menyerahkan bukti baru.
Sejak November 2018, PSM membantu keluarga terjejas di Projek Perumahan Rakyat milik kerajaan di Rifle Range, Air Itam, untuk terus tinggal di sana walaupun mereka diberikan notis mengosongkan unit kerana tidak memenuhi kelayakan minimum.
Pada 6 Jun 2018, Karthiges mengetuai satu bantahan di lobi Komtar, dengan kira-kira 30 penduduk flat itu berkhemah bersama bantah dan selimut selepas mereka dipaksa keluar dari rumah di Rifle Range.
Kerajaan Pulau Pinang dilaporkan berkata, keluarga terjejas sudah diberikan masa untuk mencari tempat tinggal lain, tetapi mereka gagal berbuat demikian.
Seorang pegawai berkata, mereka diusir untuk memberi laluan kepada keluarga yang lebih layak dan memerlukan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri bersetuju menyediakan rumah sementara buat 4 keluarga di Batu Kawan dengan kadar sewa RM170 sebulan, susulan satu pertemuan dengan aktivis terbabit.
“Ia tidak rasional untuk meneruskan kes itu kerana 2 aktivis terbabit hanya mempertahankan orang miskin daripada diusir dari sebuah rumah kos rendah.
“Kami menulis surat kepada Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menggugurkan kes ini. Kami berharap timbalan pendakwa raya dan peguam tidak membuang masa mereka atas isu kecil ini,” kata Arutchelvan.
Seorang lagi pemimpin PSM, Choo Chon Kai berkata 2 aktivis itu hanya cuba berbincang dengan pegawai kerajaan negeri untuk menangguhkan proses pengusiran yang dilakukan pada bulan puasa tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan