HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mei 2019

'Bukan kali pertama wakil rakyat bukan Islam serah zakat'


   

Penyerahan zakat oleh wakil rakyat bukan Islam kepada golongan memerlukan bukanlah pertama kali berlaku di Pulau Pinang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali.

Beliau berkata selain Adun Pulau Tikus, Chris Lee, bantuan zakat juga pernah diserahkan pemimpin bukan Islam yang lain di negeri itu sehingga menjadi tular di media sosial.

“Saya rasa bukan kali pertama, dah (pernah) tular, bekas TKM (Timbalan Ketua Menteri II) dulu Prof Dr P Ramasamy dan JSN Rayer (Anggota Parlimen Jelutong) pun ada bagi (serah zakat).

“Tapi kalau perhatikan gambar-gambar (yang dimuat naik), tak ada satu pun gambar yang ada pegawai-pegawai dari ZPP. Itu sekali gus menunjukkan kita tak terlibat dan tiada kaitan dengan proses penyerahan itu,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau menegaskan ZPP tidak pernah melantik atau mewakilkan secara rasmi kepada mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk menyerahkan hamper atau kit bantuan Ramadan kepada asnaf.

"Tak pernah. Itu saya nak tekankan,” katanya.

Untuk rekod, Ramasamy ketika menjadi Adun Prai pernah memberikan bantuan zakat persekolahan pada 2016, manakala Rayer pula menyampaikan kit zakat di kawasan parlimennya pada 19 Mei.

Diuruskan pegawai DUN

Mengulas isu penyerahan bantuan zakat oleh pemimpin bukan Islam, Amran menjelaskan ZPP menerima banyak permohonan untuk pemberian zakat baik daripada pusat khidmat Dun kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, permohonan itu selalunya diuruskan oleh pegawai seranta Dun tersebut yang lazimnya beragama Islam, dan setiap permohonan disemak bagi memastikan maklumat dan taraf ekonomi senarai asnaf terlibat disediakan dengan lengkap sebelum diluluskan oleh ZPP.

“(Setelah diluluskan) Kami serahkan kepada pegawai seranta supaya dia boleh menguruskan penyerahan kotak-kotak (kit) ini kepada asnaf yang terlibat.

“Jadi apa yang berlaku, apabila pegawai seranta, mungkin atas permintaan wakil rakyat berkenaan atau mungkin untuk kelebihan politik- kita tak pasti- (pengagihan itu) diambil gambar dan disiarkan di media sosial mereka," katanya.

Chris Lee pada 26 Mei menerima kecaman daripada pelbagai pihak apabila memuat nak gambarnya mengagihkan kit zakat kepada golongan asnaf di Facebooknya.

Hantaran itu menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuklah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan tindakan Chris.

Dalam satu kenyataan terdahulu, ZPP menjelaskan kejadian tersebut adalah di luar kawalan pihaknya, namun ZPP dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah memberikan nasihat kepada Chris berhubung perkara tersebut.

Mengulas lanjut mengenai hal itu, Amran mengulangi pendirian Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa dari segi hukum, tidak menjadi kesalahan bagi seorang bukan Islam diwakilkan untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

Tiada ulasan: