HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Perginya seorang biduan, Dahlan Zainuddin

Mohammad Arif Nizam
dahlan
Dahlan Zainudin
KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 9.48 malam ini.

Dahlan, 78, menghembuskan nafas terakhir selepas tidak sedarkan diri sejak Sabtu lalu kerana diserang angin ahmar buat kali kedua.

Dahlan pernah diserang angin ahmar pada tahun 2016 yang mengakibatkan dia lumpuh sebelah kiri.

Pemergian penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan disahkan oleh isterinya, Datin Effa Rizan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.

Menurut Effa, jenazah akan dibawa ke Masjid Bangsar untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor esok.

Dahlan memulakan karier sebagai penyanyi selepas memenangi kategori Persembahan Keseluruhan Terbaik, Bintang RTM pada tahun 1975.

Allahyarham mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi tempatan pertama yang mendapat peluang untuk mengadakan konsert di Stadium Negara pada tahun 1978.

Selain itu, arwah merupakan anak kepada pelakon bangsawan yang pernah berhijrah ke Singapura sewaktu usianya mencecah lapan tahun dan kemudiannya menetap di Kuala Lumpur pada tahun 1965.

Selain menyanyi beliau juga pernah membintangi filem Kisah Seorang Biduan bersama Gaya Zakry dan beberapa pelakon yang lain dan pernah menjadi pengacara dalam rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI) sekitar tahun 1970-an. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: