HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mei 2019

Saya sedia jumpa Saiful, jumpa Ali lepas raya – KPN

Kumara Sabapatty
MGF28052019_IGP-SERAH-KUIH-RAYA03-681x454
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyerahkan kuih raya kepada Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd (dua kiri) sambil diperhatikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kiri) pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini menyatakan kesediaannya berjumpa bekas pegawai D9 Bukit Aman, Saiful Bahari Yunus yang didakwa dianiayai.

Beliau berkata, dirinya tidak mahu mengelak mana-mana individu yang mahu mendapatkan keadilan sewajarnya.

Bagaimanapun beliau difahamkan proses penyiasatan terhadap Saiful sebelum ini dilakukan secara adil dan mengikut peraturan undang-undang.

“Saya difahamkan bahawa proses siasatan yang dijalankan dalam kes beliau (Saiful) berjalan dengan tersusun dan dimaklumkan bahawa tindakan yang diambil ke atas beliau adalah adil mengikut peraturan undang-undang.

“Tindakan telah dikenakan ke atas beliau dan beliau jalani hukuman itu pada pandangan PDRM adil dan proses berjalan telus,” katanya ketika ditanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan eksklusif Malaysia Gazette pada 16 Mei lalu mengenai pendedahan Saiful – seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang juga dari Bahagian Siasatan Khas (D9)  yang mendakwa dirinya telah dianiaya pegawai atasan sehingga menjalani hukuman penjara.

Saiful yang juga dikenali sebagai Shadow dalam kalangan angota PDRM banyak menyelesaikan pelbagai kes jenayah berat termasuk sindiket pengedaran senjata api, sindiket curi kereta mewah dan berjaya menembak mati ramai penjenayah bersama pasukannya.

Shaiful pernah menerima penghargaan atas keberaniannya bertempur dengan penjenayah selain pernah mendapat perhatian media apabila cedera parah setelah terjatuh daripada bumbung sewaktu mengejar penjenayah hingga pipinya terpaksa ditanam dengan plat besi.

Sebelum itu, Saiful dan beberapa anggota di bawahnya didakwa terlibat dalam sindiket dadah berdasarkan kejayaan pegawai atasan memintas perbualan telefon mereka di Kedah.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid bersedia mendengar rayuan Saiful untuk polis membuka semula kesnya demi mendapatkan keadilan.

Bagaimanapun, dalam tinjauannya sendiri, Abdul Hamid mendapati penjelasan yang diberikan oleh pegawai yang kes Shaiful menyakinkannya.

“Tapi kalau sekiranya beliau (Saiful) masih tidak berpuas hati kami membuka pintu..demi keadilan tidak ada halangan…saya tidak akan menafikan sesiapa dalam menyatakan keadilan sebelah mereka.

“Mereka boleh memfailkan aduan dan apa jua yang dirasakan wajar, tetapi atas nama keadilan, dia akan diberi peluang luas.

“Bila akan sampai satu tahap sudah tidak boleh pergi lagi.. ya lah sesiapa pun boleh dakwa dirinya tidak bersalah tetapi sekiranya dia tidak ada dapat buktikan dia tak bersalah, bagaimana kita nak teruskan?

“Tetapi saya akan berikan pandangan sedia mendengar atas kepentingan keadilan,” katanya lagi.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Abdul Hamid  juga bersedia untuk berjumpa dengan seorang lagi bekas pegawai D9 Bukit Aman, Mohd Amir Ali Batcha, 65, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk mendengar dakwaannya yang juga dianiayai dan mahu tribunal khas siasatan dilakukan.

“Saya belum jumpa Amir Batcha lagi…akan jumpa selepas raya nanti sebab semua sibuk dengan urusan tugas dan perayaan,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: