HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Syazlin dalam konflik kepentingan: Tommy

azleen safina

Keputusan Syazlin arahan KPKT, bukan secara sukarela

KUALA LUMPUR -Peguam Syazlin Mansor berada dalam kedudukan konflik kepentingan, kerana beliau mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues mengenai kematian anggota bomba itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas berkata, Syazlin mengambil kedudukan yang bercanggah sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang merupakan pegawai yang menjalankan prosiding. Perkara ini memalukan beliau atas kapasitinya sebagai peguam mewakili Kementerian.

“Ini untuk menjelaskan kekeliruan dan spekulasi berikutan penarikan Syazlin Mansor, seorang anggota Badan Peguam Malaysia, daripada terus mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues terhadap kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di harapan Koroner, Hakim Rofiah Mohamad di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Syazlin menerima pelantikan untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Jabatan Bomba dalam prosiding inkues apabila dia dilantik untuk mewakili ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib).

Dia sepatutnya menolak pelantikan kerajaan atas pelbagai sebab, ” katanya.

Thomas menjelaskan pertama sekali, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba sebagaimana Kementerian dan Jabatan Kerajaan yang lain, dikehendaki mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam luar mesti dilantik oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

“Yang kedua, Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila dia bersetuju untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Jabatan Bomba, sedangkan beliau juga bertindak mewakili ahli keluarga Allahyarham, yang mempunyai kepentingan langsungh dalam inkues. Kepentingan pihak-pihak berkaitan mungkin bertentangan, dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima untuk beliau mewakili kesemua ketiga-tiga pihak.

Yang ketiga, pegawai saya, yang melaksanakan tugas membantu Koroner, memaklumkan kepada saya, bahawa Syazlin mengambil peranan aktif dalam inkues dan sering mengambil kedudukan yang bercanggah dengan kedudukan Timbalan Pendakwa Raya. Ini memalukan beliau atas kapasitinya sebagai peguam mewakili Kementerian.

Yang keempat, suami Syazlin berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Atas sebab-sebab ini, saya memohon supaya Menteri Perumahan membatalkan pelantikannya untuk mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba,” katanya.

Thomas berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu menerusi laporan berita semalam bahawa Syazlin juga menarik diri daripada mewakili keluarga Allahyarham sambil menyatakan bahawa keputusan itu dibuat secara sukarela olehnya, tanpa dipengaruhi oleh pihak Jabatan Peguam Negara.

“Akhir sekali, saya ingin menambah bahawa sebelum prosiding Inkues bermula semalam, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin, salah seorang pegawai yang membantu Koroner dalam Inkues, secara peribadi bertemu dengan Syazlin dan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai masalah jika beliau terus mewakili keluarga Allahyarham.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham supaya prosiding Inkues dapat diteruskan dan Prof Dr Shahrom Abd Wahid boleh dipanggil untuk memberi keterangan lanjut.

Bagaimanapun, Syazlin tegas dengan keputusannya untuk menarik diri.

Prof. Shahrom adalah seorang saksi pakar yang membantu Koroner dalam Inkues. Peranannya dalam Inkues tidak terjejas berikutan penarikan diri Syazlin. Timbalan Pendakwa Raya Faten memaklumkan kepada Koroner bahawa Jabatan Peguam Negara bersedia untuk membantu Koroner dengan mensapina Prof Shahrom. Kami akan berbuat demikian,” kata Thomas.

Semalam, Koroner Rofiah membenarkan permohonan Syazlin untuk menarik diri daripada mewakili ketiga-tiga pihak pada prosiding inkues yang masuk hari ke-37.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember selepas selama 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
 
 

Tiada ulasan: