HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2019

'Tanah air ini nyawanya' - Anak kongsi kenangan terakhir dengan mendiang Khoo Kay Kim

Hasimi Muhamad, Astro Awani
'Tanah air ini nyawanya' - Anak kongsi kenangan terakhir dengan mendiang Khoo Kay Kim
Bagi memastikan segala hasil karya Kay Kim tidak lenyap ditelan zaman, Eddin kini berusaha untuk mengumpul semua hasil penulisan bapanya. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Pemergian sejarawan negara dan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Anak sulung mendiang, Eddin Khoo, 50 tahun, berkata bapanya sentiasa menyifatkan Malaysia sebagai nyawanya.

Katanya, Kay Kim sentiasa menjadi jambatan di antara kaum dalam mewujudkan sebuah negara bangsa yang majmuk.
 
 “Tanah air ini adalah nyawanya dan selama lebih 50 tahun kerjayanya, beliau telah banyak terlibat dalam pelbagai aspek terutamanya seorang guru dan pensyarah.

“Dalam (melahirkan) anak murid sebagai pembina negara, tetapi bagi saya yang paling utama beliau menjadi jambatan di antara kaum untuk mewujudkan satu negara bangsa yang majmuk,” katanya ketika ditemui pemberita di Nirvana Memorial Center, Sungai Besi, di sini hari ini.
 
Jelas beliau lagi, bapanya sentiasa menganggap bahawa proses membina negara bangsa adalah bersifat berterusan.
 
 “Selalu beliau menganggap bahawa membina negara bangsa adalah satu proses dan proses itu tidak pernah selesai tetapi selalu menitik-berat aspek sejarah dalam apapun.

“Kalau tiada kenangan kita tidak ada masa depan yang cerah,” ujarnya.

Mengimbau lagi kenangan bersama mendiang, Eddin berkata bapanya sering berpesan bahawa setiap manusia mempunyai maruah.

Ujarnya, ramai yang tidak tahu bahawa mendiang bapanya juga seorang yang suka berjenaka, dan kerana itu beliau mudah didampingi oleh semua pihak.

“Itu merupakan pengajaran utama. Selain itu, beliau juga merupakan seorang ayah yang begitu bebas mesra.

“Ramai yang mengenali seorang yang serius tetapi ada aspek lucu dan luar biasa. Orang mesra dan senang bergaul,” katanya.

Bagi memastikan segala hasil karya Kay Kim tidak lenyap ditelan zaman, Eddin kini berusaha untuk mengumpul semua hasil penulisan bapanya.

Projek itu telah bermula dan ia melibatkan penerbitan 35 buah buku membabitkan semua hasil tulisan mendiang di akhbar, selain projek berkaitan riwayat hidup mendiang bapanya.

Kay Kim menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira jam 10.13 pagi, pada Selasa.

Mendiang yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75 tahun, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Beliau merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969. 
 
 

Tiada ulasan: