HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2019

Lebihan bayaran dipulangkan jika terlebih caj – TNB

Kumara Sabapatty
MGF06022017_BANGUNANMENARA50-681x454
Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 
 

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memulangkan lebihan bayaran sekiranya terbukti berlaku lebihan caj dalam bil elektrik pelanggannya untukbulan Mei ini.

Syarikat utiliti itu berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan menyeluruh dalam menangani isu kenaikan bil elektrik seperti yang didakwa oleh penggunanya di seluruh negara.

TNB berkata, ia memandang serius kekhuatiran serta kegusaran pelanggan yang merasakan berlaku peningkatan ketara dalam bil masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini,  TNB menyatakan komitmennya untuk merungkaikan permasalahan pengguna.

“Satu usaha menyeluruh sedang dilaksanakan TNB untuk menangani isu ini dengan terperinci.

“Ini termasuk membantu pelanggan yang menerima bil tinggi secara bersemuka di Kedai Tenaga yang berhampiran atau dengan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454,” kata kumpulan Komunikasi Korporat TNB dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, TNB menghargai rungutan, aduan dan maklum balas yang mereka ajukan dan sedang memberikan tumpuan untuk mencari jalan penyelesaian tetap.

TNB memberi fokus utama untuk memastikan setiap aduan disiasat dan tindakan yang sewajarnya diambil.

“Ini termasuk memulangkan semula lebihan bayaran jika terbukti lebihan caj berlaku dan ianya akan dikreditkan semula dalam bil-bil pelanggan.

“TNB juga akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam menangani isu ini dan kepada pelanggan yang terlibat, TNB memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” sebut dalam kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: