HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mei 2019

Nama di bangunan sekolah: Nga patut contohi Dr M, kata PSM

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming sepatutnya mencontohi Dr Mahathir Mohamad berhubung isu sebuah blok sekolah di Taiping yang dinamakan sempena namanya, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan menyifatkan penjelasan Nga bahawa nama blok itu diputuskan oleh lembaga pengelola SJK(C) Sin Min sebagai "jijik dan tak boleh diterima".

Walaupun ia keputusan lembaga sekolah, beliau sentiasa boleh bersikap mulia dengan menolaknya dan meminta pihak sekolah untuk tidak berbuat demikian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arutchelvan membangkitkan tindakan Mahathir yang berkata ketika kali pertama menjadi perdana menteri, beliau tidak membenarkan namanya diabadikan pada bangunan dan jalan.

"Mahathir juga berkata beliau melarang sekolah dinamakan dengan namanya kerana tidak mahu mencipta kultus personaliti seputar dirinya," kata Arul lagi.

Kata Arul lagi, Nga sepatutnya menghentikan amalan tersebut dan bukannya mendakwa ia bermula ketika pentadbiran BN.

"Sebagai timbalan yang dipertua, beliau sepatutnya menunjukkan contoh dan menolak atau mengarahkan sekolah agar tidak berbuat demikian," katanya lagi.

Pada 27 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Nga sebagai berkata isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan.

"Sebaik kita menjadi kerajaan, saya selaku wakil rakyat di situ (adun Aulong) usaha bantu dapatkan CCC (sijil layak menduduki), setelah diperolehi, kita cuba dapatkan dana pula untuk kelengkapan sekolah," katanya.

Berkenaan lembaga pengelola sekolah yang menamakan bangunan sempena dirinya, Nga berkata beliau tidak boleh menghalang hasrat itu.

"Budaya Malaysia orang berbudi, kita berbahasa, kalau pihak sekolah sendiri mahukan begitu, tak kan saya kata tidak boleh," katanya lagi seperti dipetik.


Tiada ulasan: