HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mei 2019

Wanita ditemui mati tergantung

Muhammad Apendy Issahak



MAYAT wanita ditemui tergantung pada pintu jeriji tangga utama sebuah premis rumah kedai di Jalan Medan Ipoh, Bandar Baru Medan Ipoh, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, wanita terbabit ditemui dalam keadaan tergantung dan lengkap memakai baju putih serta seluar pendek warna hitam.

“Maklumat mengenainya diterima Balai Polis Sungai Senam sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan termasuk Unit Forensik dan pakar patologi.

“Ketika siasatan dijalankan terdapat seorang lelaki warga Myanmar datang membuat kacau dan mengatakan wanita mati itu adalah isterinya hingga memaksa polis menahannya kerana tidak mahu siasatan terganggu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lokasi kejadian adalah premis dijadikan rumah sewa di tingkat atas bangunan terbabit yang mempunyai tujuh bilik.

Menurutnya, hanya dua bilik dipercayai berpenghuni manakala selebihnya kosong dan mangsa tinggal di premis berkenaan bersama lelaki ditahan itu.

“Pemeriksaan di dalam bilik tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa dan siasatan tidak menjumpai sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian atau pada badan mangsa.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita akan mengetahui punca kematian wanita terbabit melalui bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) esok.

“Polis akan menyemak dengan pihak Kedutaan Myanmar atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk mengenalpasti identiti mangsa,” katanya.

Tiada ulasan: