HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mei 2019

Semua peneroka Felda dapat ‘duit raya’ RM300, kata Dr M




TOKYO: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan semua peneroka Felda akan mendapat ‘duit raya’ RM300.

“Ya, kami akan bagi mereka (duit raya). Ia atas perbelanjaan kerajaan. Ini akan melibatkan kos RM34 juta tetapi kami sedar masalah yang dihadapi peneroka Felda,” katanya kepada media Malaysia hari ini, sebelum menamatkan lawatan beliau ke Jepun.

Semalam, tular pekeliling menyatakan Kabinet bersetuju untuk memberi bantuan khas Aidilfitri kepada 112,635 peneroka.
Menurut pekeliling itu yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, semua peneroka Felda akan menerima masing-masing RM300, selain tunggakan yang layak mereka nikmati sebelum Aidilfitri.

Mahathir berkata kerajaan bersedia untuk melakukan pengorbanan untuk mereka namun pada akhirnya, peneroka Felda sendirilah yang perlu bekerja keras dan tidak “menuai buah dari pokok yang mereka tidak tanam”.

“Semasa tempoh penanaman semula, selama kira-kira 8 tahun mereka tiada pendapatan dan kerajaan memberi mereka elaun.

“Apabila pokok mula mengeluarkan buah, kami menjangkakan buah itu dihantar ke kilang yang ditetapkan kerajaan, sebaliknya ada antara mereka yang menghantar buah itu ke tempat lain dan mengambil wang itu untuk diri sendiri.

“Ini salah, mereka tidak sepatutnya berbuat begitu sebab mereka tidak keluarkan 1 sen pun untuk penanaman semula. Hakikatnya, kerajaan perlu membantu mereka,” kata Mahathir.

Perdana Menteri, yang diiringi isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 3.20 petang waktu tempatan, selepas menamatkan lawatan kerja 3 hari ke Jepun.

Tiada ulasan: