HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mei 2019

Sekatan perjalanan ditarik balik, Apandi Ali bebas ke luar negara

THE MALAYSIAN TIMES


KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kini bebas pergi ke luar negara selepas sekatan perjalanannya ditarik balik oleh Kerajaan Malaysia pada 8 Mei lepas.

Peguam M. Visvanathan, yang mewakili Mohamed Apandi berkata anak guamnya juga telah menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar keputusan Jabatan Imigresen yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Peguam itu berkata permohonan itu ditarik balik berikutan surat yang diberikan oleh Jabatan Imigresen kepada pemohon (Mohamed Apandi) bertarikh 8 Mei lepas yang menarik balik larangan perjalanannya ke luar negara.

“Dengan ini, tidak ada apa-apa halangan atau sekatan terhadap anak guam saya ke luar negara. Saya bagi pihak anak guam amat berterima kasih kepada Pakatan Harapan, yang merupakan kerajaan sekarang kerana hak untuk pergi ke luar negara adalah hak kepada mana-mana rakyat Malaysia selagi orang itu tidak dituduh di mahkamah atau tidak mempunyai apa-apa sabitan berkenaan apa-apa kes jenayah.

“Sekiranya tidak ada apa-apa sekatan daripada pihak mahkamah, tiada alasan atau sebab kenapa mana-mana pihak perlu disekat perjalanan mereka,” katanya ketika pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya hari ini.

Peguam itu berkata tiada kos diberikan oleh mahkamah berhubung penarikan balik permohonan anak guamnya. Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Mohamed Apandi bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Istisyhad Ismail, bertindak bagi pihak Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden, yang hadir dalam prosiding itu mengesahkan bahawa Jabatan Imigresen telah menarik balik sekatan perjalanan pemohon ke luar negara dan perkara itu dinyatakan dalam surat bertarikh 8 Mei lepas.

Pada Mac lepas, Mohamed Apandi selaku pemohon memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan arahan yang menghalangnya daripada mendapatkan pasport serta sekatan perjalanan oleh kesemua responden terhadap pemohon yang dimaklumkan secara lisan kepadanya pada 22 Feb lepas.

Mohamed Apandi juga memohon perintah deklarasi bahawa kesemua responden tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya ke luar negara selain memohon perintah mahkamah untuk menghalang responden daripada menyenarai hitam pemohon daripada keluar masuk negara.

Turut dipohon deklarasi bahawa arahan yang menghalangnya sekatan yang dikenakan terhadapnya melanggar Perkara 5(1), Perkara 8 dan/atau Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu ia tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Mohamed Apandi berkata pada 22 Feb lepas, beliau pergi ke Jabatan Imigresen Jalan Dutamas bagi memohon pasport baharu untuk tujuan perjalanan ke United Kingdom pada Julai ini bagi melawat anak lelakinya yang belajar jurusan undang-undang di situ.

Dakwanya, sewaktu berada di Jabatan Imigresen itu, beliau telah dimaklumkan secara lisan oleh seorang daripada pegawai yang bertugas bahawa beliau tidak boleh membuat apa-apa permohonan atau memperbaharui pasport dan mendakwa beliau tidak diberi penjelasan mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: