HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mei 2019

Syazlin perlu terus wakili keluarga Adib jika mahu kebenaran, kata PM

Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas 
mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM 
di Yayasan Selangor, hari ini.
 
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, Syazlin Mansor sepatutnya terus mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues yang hampir berakhir, jika beliau mahu mencari kebenaran bagi kematian anggota bomba itu.

Perdana menteri berkata, Syazlin tidak boleh mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Adib pada masa sama bagi mengelakkan berlaku konflik kepentingan.

“Dia patut terus menjadi peguam bagi keluarga Adib, tapi dia tarik diri (daripada mewakili) semua (pihak). Dia jadi peguam keluarga, lepas itu nak jadi peguam kerajaan, mana boleh?

“Jika dia mahu mencari kebenaran, kebenaran itu boleh dapat dalam mahkamah.
“Sekarang ini, perdana menteri tidak berkuasa di mahkamah, kalau tidak percaya pada mahkamah, kita nak percaya kepada siapa untuk buat keputusan?” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM hari ini.

Beliau mengulas penarikan diri Syazlin secara mengejut daripada prosiding inkues semalam, susulan arahan Jabatan Peguam Negara kepada KPKT pada 23 Mei lalu untuk  membatalkan pelantikannya.

Terdahulu, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa raya.

Katanya, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana beliau turut mewakili keluarga Adib “yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues itu”.

Beliau berkata, mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan perlu mendapatkan nasihat dan hanya boleh melantik peguam luar melalui Jabatan Peguam Negara.

Mengenai gesaan sesetengah pihak untuk peguam negara meletak jawatan, Mahathir berkata, tiada sebab Thomas perlu berbuat demikian kerana isu pelantikan Syazlin dalam inkues Adib.

“Orang bercakap tentang perkara ini (gesaan pecat peguam negara) secara membabi buta. Apa pun yang dia buat ada sebabnya.”

Mengenai kesilapan dalam pelantikan Syazlin, pengerusi PPBM itu berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tidak sedar peguam dari Majlis Peguam itu turut mewakili keluarga Adib.

“Adakah awak nak (saya) pecat Zuraida juga?” soalnya.

Terdahulu, setiausaha politik Zuraida dilaporkan berkata, tiada bantahan daripada mana-mana pihak, termasuk Jabatan Peguam Negara terhadap pelantikan Syazlin untuk mewakili KPKT dan JBPM sepanjang inkues diadakan.

Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, Syazlin yang juga isteri kepada setiausaha akhbar Zuraida, Ahmad Soffian Mohd Shariff, dilantik mewakili KPKT dan JBPM tanpa mengenakan sebarang bayaran.Timbul percanggahan pendapat antara 2 saksi, iaitu Prof Shahrom Abd Wahid (bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi (pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur) yang melakukan bedah siasat ke atas Adib, yang boleh memberi petunjuk bagaimana anggota bomba itu cedera sebelum meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Kedua-dua doktor berhujah mengenai pengiraan daya impak van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang menyebabkan tulang rusuk Adib patah.

Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.

Tiada ulasan: