LEBIH 500 pelanggan menyerbu Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Banda Kaba, di sini, semalam, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kadar penggunaan dan kenaikan bil di kediaman masing-masing.
Pelanggan dari Bachang Baru, Pok Awe Chon, 72, berkata, pada 14 April lalu dia menerima bil dengan kadar caj semasa berjumlah RM2,068 dan tunggakan RM266 dalam kiraan tempoh 121 hari.
Dia berasa ada yang tidak kena berikutan sudah menerima bil sehari sebelum itu, dengan caj semasa berjumlah RM266 tanpa tunggakan, bagi tempoh 29 hari.
“Sebelum ini, saya hanya perlu membayar tidak kurang RM300 setiap bulan dan akaun tak pernah tertunggak, tetapi bil pada 14 April saya perlu membayar RM2,334.
“Rumah saya ada empat pendingin hawa, namun pada waktu siang cuma saya, isteri dan anak berstatus orang kurang upaya (OKU) berada di rumah. Meskipun panas kami cuma gunakan kipas saja pada waktu siang,” katanya yang tinggal bersama lima ahli keluarga lain.
Seorang lagi pelanggan Zulhusmi Othman, 31, mendakwa bil di rumah bapa mentuanya di Taman Merdeka, meningkat mendadak meskipun belum menggunakan meter pintar.
Dia mendakwa meskipun sudah membuat aduan belum ada wakil TNB ke rumah bapa mentuanya untuk melakukan pemeriksaan.
Sementara itu Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, setakat 12.30 tengah hari semalam, pihaknya merekodkan sebanyak 580 aduan daripada pengguna domestik dan komersil berhubung bil melambung tinggi serta meter pintar selepas dua hari program diadakan.
“Ramai yang sudah faham dengan penjelasan terperinci daripada wakil kami. Ada pengguna memohon untuk meminta TNB membuat semakan meter pintar di rumah masing-masing dan kami sememangnya ada pasukan khas untuk tujuan itu,” katanya.
Ahmad Rezahan, akan mempertimbangkan untuk meneruskan program seperti itu di luar bangunan wisma selepas Aidilfitri berikutan ada permintaan daripada pihak tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan