HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mei 2019

Patriot nafi kaitan dengan 'The Patriots', gesa polis siasat penulis

MALAYAIAKINI

   
Kumpulan veteran angkatan tentera Malaysia, Persatuan Patriot Kebangsaan menafikan sebarang kaitan dengan penulis Helmi Effendy, ketua editor penerbitan sayap kanan The Patriots.

Dua judul buku oleh Helmi baru-baru ini telah ditarik dari pasaran oleh Kedai Buku Fixi selepas dia membuat kenyataan agar 'pengkhianat' Melayu dibunuh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Mohamed Arshad Raji menegaskan bahawa kumpulan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penulis mahupun karyanya.

"Kami ingin menyatakan bahawa Persatuan Patriot Kebangsaan tidak ada kaitan dengan buku-buku yang ditulis oleh Helmi Affendy, yang mendakwa sebagai pengasas Patriots, dan pemilik portal, 'The Patriots'.

"Helmi Affendy bukan ahli Patriot dan kami tidak ada sebarang kaitan dengannya mahupun mana-mana karyanya," katanya.


Arshad seterusnya menggesa pihak polis untuk menyiasat dan bertindak terhadap komen-komen yang dibuat oleh Helmi.

"Sesiapa yang mahu 'pengkhianat Melayu' dibunuh dan menyebarkan keganasan terhadap orang Melayu dan bukan Melayu adalah orang yang sangat berbahaya.

"Patriot menggesa IGP Abdul Hamid Bador dan polis supaya bertindak. Siasat dan jika ada undang-undang yang dilanggar, heret pelakunya ke mahkamah mengikut Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam hantaran di Facebook bertarikh 12 Julai tahun lalu, Helmi mengecam Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana sedia mempertimbangkan pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang digunakan di sekolah persendirian Cina.

Katanya dia berdoa agar ada parti nasionalis Melayu lahir dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Dalam kenyataan sama dia juga menulis harapan pemimpin dan pengundi Melayu yang "mengkhianati agama dan bangsanya" akan dibunuh.

“Semoga night of broken glasses turut menjadi kenyataan di Malaysia. Night of the long knives pula akan membunuh pemimpin-pemimpin dan pengundi Meliau yang mengkhianati agama dan bangsanya!” katanya.

Hantaran Helmi (foto, bawah) itu dibangkitkan pengguna media sosial di Twitter sehingga akhirnya menarik perhatian Buku Fixi.

Ungkapan night of broken glasses digunakan Helmi itu merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai komuniti Yahudi di Jerman pada 1938.

The night of the long knives pula merujuk kepada siri pembunuhan politik oleh tentera Nazi di Jerman pada 1934 dan membawa kepada pengukuhan kuasa Adolf Hitler.

 


Tiada ulasan: