KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan asrama khusus bagi gelandangan dalam usaha menjaga kebajikan mereka secara berterusan.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, 300 gelandangan yang dihantar berkursus di Kuantan, Pahang dan Sepang, Selangor, akan dipindahkan ke asrama khusus itu.
Namun buat masa ini lokasi asrama itu masih dalam pencarian.
Annuar berkata, gelandangan yang ditempatkan di dewan sekitar Kuala Lumpur sebelum ini ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) semakin berkurang selepas dihantar untuk bekerja dan menghadiri kursus.
“Jumlah gelandangan melebihi 800 ketika itu. Sekarang, angka itu banyak berkurang.
“Ada sebahagian berada di rumah kekal seperti Anjung Singgah dan sebahagian lagi dihantar untuk kursus jangka panjang 3 bulan di Kuantan dan kursus 1 bulan di Sepang,” katanya.
Pada 1 April, 510 gelandangan ditempatkan sementara di 4 dewan serba guna di sekitar Kuala Lumpur bagi membendung penularan Covid-19.
Mereka ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir.
Sementara itu, Annuar berkata, sebahagian gelandangan dipindahkan ke asrama khusus itu berikutan dewan yang menempatkan mereka sebelum ini akan digunakan oleh komuniti setempat.
Katanya, asrama khusus itu boleh memuatkan hampir 300 orang.
“Kita sedang lihat tempat, terutama hendak asingkan gelandangan wanita daripada asrama gelandangan lelaki.
“Perhatian kepada masalah gelandangan ini adalah proses berterusan yang diambil tanggungjawab secara sukarela DBKL,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan