PEKAN: Kebiasaan baru yang perlu dipatuhi ekoran pandemik Covid-19 pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak membebankan pengundi, sebaliknya lebih memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab.
Pengundi yang ditemui Bernama mengakui kebiasaan baru menjadikan proses pengundian berjalan lancar dan lebih pantas jika dibandingkan pengalaman mereka mengundi pada pilihan raya umum lalu.
Orang kelainan upaya, Mohd Ali Ismail Ideris, 32, yang mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Felda Chini 3 dekat sini berharap beberapa pembaharuan yang dibuat pada PRK ini dapat diteruskan masa depan kerana “lebih mesra” kepada golongan sepertinya.
“Hari ini saya datang mengikut waktu cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tak perlu menunggu lama. Semuanya selesai dalam kurang 10 minit, walaupun perlu melalui saringan suhu dan sebagainya.
“Mudah sebab sudah tahu saluran mana hendak dituju. Kalau dahulu, saya pernah menunggu setengah jam untuk menunggu giliran (mengundi) walaupun datang seawal 8 pagi kerana semua orang tiba di pusat mengundi pada waktu sama,” katanya kepada Bernama.
Ali yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan motosikal 12 tahun lalu berkata, kakitangan SPR amat membantu walaupun terdapat beberapa “aturan” baru pergerakan dalam pusat mengundi bagi mengelakkan pengundi bersesak di tempat sama.
Bagi warga emas Felda Chini 3, Salmah Sidek, 76, yang menggunakan kerusi roda pula, pengalaman mengundi pada hari ini sesuatu yang baru kepadanya sejak mula menunaikan tanggungjawab itu pada usia 20-an.
“Mudah kerana ada orang (kakitangan SPR) bantu, termasuk memakaikan sarung tangan sebelum saya mengundi…kalau sebelum ini, jari dicelup ke dalam dakwat kekal selepas selesai (mengundi), tapi kali ini mereka gunakan berus untuk menyapu dakwat ke jari. Lain sikit saja.”
Pekerja swasta, Mohd Asrul Ishak, 39, yang bertolak dari Cheras, Kuala Lumpur 4 pagi tadi untuk mengundi juga memuji perjalanan proses pengundian hari ini kerana “susunan cantik” sehingga tiada kesesakan dalam pusat mengundi.
Katanya, ia termasuk khemah saringan suhu, ruang menunggu dan kaunter rekod kehadiran, selain kehadiran anggota polis untuk mengingatkan semua pengundi supaya menjaga penjarakan sosial.
“Daripada masuk sehingga keluar pusat mengundi, kakitangan SPR amat membantu. Kami juga tidak bimbang keluar ke tempat awam dalam situasi wabak kerana semua aspek berjaga-jaga sudah diambil kira pihak terlibat. Perjalanan hari ini memang kemas dan harap diteruskan walaupun selepas tamat wabak Covid-19.”
Wan Mahani Wan Ali, 66, berkata beliau keluar mengundi mengikut masa cadangan pada kad pengundi, iaitu antara 8 hingga 10 pagi kerana bimbang terpaksa bersesak jika tiba di luar waktu cadangan.
Katanya, anaknya yang turut mengundi di Felda Chini 2 akan keluar mengundi selepas 10 pagi, selain beliau juga beberapa kali mengingatkan mereka mematuhi masa cadangan itu.
“Kami bimbang dengan Covid-19. Penyakit ini bukan perkara main-main dan sudah pasti setiap keputusan dibuat (SPR) ada sebabnya. Kita hanya keluar mengundi dan ikut apa yang mereka suruh seperti pakai topeng. Tak susah mana pun untuk ikut.”
PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan 3 penjuru dengan 2 calon bebas, iaitu ahli perniagaan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada 2004.
Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi, selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan