PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak pernah menyatakan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong) baru-baru ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan menegaskan, Muhyiddin hanya menyebut UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian apabila kerajaan lalu telah menerima UEC.
Kelulusan UEC telah diterima dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bidang pengkhususan Bahasa Cina (PISMP) di Institut Perguruan Malaysia.
“Berhubung pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zhong bersama Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC,” kata kenyataan tersebut.
Pada tahun 2012, Kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina.
Mereka bagaimanapun disyaratkan lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan sekurang-kurangnya memperolehi kepujian dalam bahasa Melayu.
Menurut PMO, Muhyiddin mahu UEC selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu sijil peperiksaan itu diiktiraf.
“Perdana Menteri juga menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh Kerajaan pada masa depan,” kata kenyataan itu.
Hua Zhong sebelum ini mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.
Menurut pertubuhan itu Muhyiddin menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan parlimen baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Hua Zhong berkata, Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.
Bagaimanapun, kata Huazong, perdana menteri meminta semua pihak agar memahami dasar dan keadaan dalam negara.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan