HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Julai 2020

Shafie mahu siasatan terhadap pihak ugut Adun di Sabah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa 'mengganggu gugat' ketenteraman Adun di negeri itu.

Dalam kenyataannya, Shafie berkata, laporan polis juga telah dibuat dan berharap siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

"Saya difahamkan ada Adun yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah. Kalau mahu masuk dalam rumah sekali pun, kena ada waran yang sah untuk mengetahui tujuannya.

"Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, ia sudah berulang kali dan ini menggangu gugat ketenteraman individu.

"Dikatakan ada orang jumpa Yang Berhomat (YB) kerajaan. Wakil siapa dia? Siapa dia yang jumpa YB itu, adakah mereka ini mahu membentuk kerajaan atau mahu menjadi ketua menteri, mahu jadi kerajaan pemerintah. Saya yakin ada pihak lain di belakang mereka ini," kata Adun Senallang itu.

Shafie berkata keadaan itu boleh menjejaskan ketenteraman di peringkat negeri, malah negara.

"Jika wakil rakyat itu reda untuk beralih sokongan, tiada masalah kerana kita juga tidak mahu memaksa. Macam Limus Jury dan James Ratib mahu masuk (parti pembangkang) masuklah, saya tidak paksa.

"Kita tidak mengugut orang, itu amalan kita dalam mematuhi perjalanan undang-undang yang ada," tegas beliau.

Justeru beliau meminta pihak berkuasa membuat siasatan lanjut siapa pihak yang mendesak Adun berkenaan.

"Saya tidak menafikan ada cubaan membeli Adun namun, jika orang itu tidak mahu dibeli, cukup-cukuplah. Mereka ini bukan untuk dijual," katanya.

Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata beliau akan membawa isu itu ke parlimen.

"Saya akan bersuara dalam parlimen nanti kerana untuk bercakap di luar susah sikit, ada kekangan dan halangannya," katanya.

Kenyataan Shafie itu dikeluarkan dua hari selepas Pengerusi Warisan, Liew Vui Keong mendakwa sekurang-kurangnya 12 wakil rakyatnya dilamar untuk keluar parti.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman sebelum ini dilaporkan berusaha mengumpulkan sokongan Adun untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Untuk rekod Musa mengangkat sumpa sebagai ketua menteri Sabah pada 10 Mei 2018, iaitu sehari selepas PRU ke-14, selepas mendapat majoriti mudah di Dun Sabah.

Bagaimanapun beliau hilang majoriti selepas beberapa Adun dari Umno dan satu lagi komponen BN iaitu Upko, melompat parti untuk menyertai Warisan yang dipimpin Shafie.

Shafie kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

Warisan dan sekutunya kini menguasai 45 kerusi Dun di negeri itu.

Tiada ulasan: