HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Ogos 2020

ADUN DAP mahu raih populariti melalui provokasi perkauman – ABIM

Norlaile Abd Rahman
MGF15082019_HUMAN-INTEREST-TULISAN-JAWI-DAN-KHAT02-681x454
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan ADUN Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan mahkamah untuk mencabar perintah kerajaan negeri Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi digunakan di papan tanda iklan hanyalah untuk meraih populariti politik menerusi provokasi perkaumanan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam satu kenyataannya menegaskan, tindakan tersebut tidak boleh dipandang remeh.

Menurut Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, tindakan sedemikian boleh mencetuskan provokasi yang membawa ketegangan hubungan kaum, tambahan pula negara masih dibayangi polemik berbaur perkauman.

“Dalam pada itu, ABIM melihat tindakan ini adalah demi untuk meraih populariti politik semberono menerusi provokasi perkauman tanpa ada rasa tanggungjawab untuk mencari penyelesaian serta inisiatif yang terbaik menerusi dialog dalam kalangan wakil pelbagai kaum terlebih dahulu.

“ABIM menegaskan khazanah sesuatu bangsa seperti tulisan Jawi tidak harus ditanggapi sebagai ancaman. Sebaliknya perbezaan budaya dalam masyarakat majmuk harus dinilai sebagai  suatu keunikan yang perlu untuk dipelajari oleh semua bangsa.

“Gesaan ini berdasarkan pada pengalaman dan pemerhatian ABIM sepanjang dialog dengan pemimpin yang mewakili pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

Tambah Muhammad Faisal, Yu Hui itu telah ditolak dan dikritik beberapa pemimpin DAP Pusat sendiri sebagai mementingkan diri serta mempunyai kepentingan peribadi yang merosakkan nama baik parti berkenaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: