KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dalam nada menyindir melahirkan rasa syukurnya dengan tindakan parti Keadilan (PKR) yang bercita-cita untuk menawan kembali Parlimen Ampang dan Gombak.
Malah kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, hakikatnya selama ini PKR Ampang secara khususnya lebih banyak ‘tidur’ dan sekurang-kurangnya kini sudah bangkit kembali berbuat sesuatu untuk kawasan tersebut.
“Alhamdulilah. Saya sungguh berbangga kerana Keadilan memilih Ampang untuk mengadakan program pelancaran penerangan mereka. Selama ini mereka ini tidur, kini sudah bangkit. Alhamdulilah.
“Alhamdulliah, kita juga profesional. Kita akan bertanding secara sihat dan berdepan secara sihat juga. Saya amatlah mengalu-alukan kehadiran mereka. Baguslah, jika tidak mereka ini tidur sahaja.
“Saya cuma hendak minta mereka janganlah tertinggal kawasan mereka pula,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ibadah korban di sini hari ini.
Minggu lepas, ketika Konvensyen Penerangan PKR yang turut dihadiri oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ampang, parti itu telah berikrar untuk merampas kedua-dua kawasan itu yang dikatakan kerusi tradisi.
Malah kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, partinya bertekad untuk merampas kerusi Gombak yang di anggap di kuasai oleh ‘pengkhianat’, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi Gombak, Zuraida di Ampang.
“Kita nak ingatkan pada pengkhianat ini, ini adalah wilayah PKR.
“Kita akan tawan semula Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang,” kata Shamsul.
Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada hujung Februari selepas terlibat mendalangi gerakan politik yang membawa kepada runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan dan diganti dengan gabungan baharu Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua bekas pimpinan PKR yang dipecat itu adalah ahli Parlimen Gombak dan Ampang, yang mereka wakili masuk penggal ketiga sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan