HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Ogos 2020

Bekas ketua menteri Chong mungkin kembali sertai politik Sabah

Chong Kah Kiat ialah bekas ketua menteri Sabah dari 2001 hingga 2003 
di bawah sistem penggiliran ketua menteri ketika Dr Mahathir Mohamad 
kali pertama menjadi perdana menteri. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Bekas parti komponen Barisan Nasional Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) menyimpan cita-cita besar untuk Pilihan Raya Negeri akan datang, dengan kemungkinan bekas presidennya, Chong Kah Kiat kembali ke arena politik.

Dengan harapan menjadi kuasa ke-3, LDP menyasarkan sekurang-kurangnya 40 daripada 73 kerusi yang akan dipertandingkan dan percaya peluangnya lebih baik dengan Chong menjadi faktor tarikan.

Chong ialah bekas ketua menteri Sabah dari 2001 hingga 2003 di bawah sistem penggiliran ketua menteri ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri buat kali pertama.

Ditanya jika beliau akan bertanding dalam PRN akan datang, Chong memberitahu FMT: “Tunggu dan sabar sedikit. Mari tunggu mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Chong, yang juga presiden kehormat seumur hidup LDP, bersara sebagai presiden parti itu pada 2006 untuk Pengerusi Tetap Warisan sekarang, Liew Vui Keong mengambil alih jawatan berkenaan ketika itu.

Setahun kemudian, Chong, yang merupakan timbalan ketua menteri serta menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri, meletak jawatan daripada Kabinet negeri pimpinan bekas ketua menteri, Musa Aman selepas tidak sebulu dengannya.

Bagaimanapun, kemunculannya secara tiba-tiba untuk berkempen bagi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, selepas hilang daripada arena politik selama 11 tahun, menimbulkan tanda tanya.

Bekas Adun Tanjung Kapor di bawah Parlimen Kudat itu bagaimanapun menepis dakwaan beliau menyokong Warisan menjelang PRU14.

Sementara itu, pemangku presiden LDP, Chin Su Phin berkata parti itu membayangkan dirinya sebagai kuasa ke-3 untuk pengundi Sabah pada PRN akan datang.

Kuasa lain di negeri itu ialah gabungan parti pemerintah Warisan Plus (yang terdiri daripada Upko, PKR dan DAP) serta Umno/BN Sabah dengan sekutu Perikatan Nasional, iaitu PPBM Sabah, PBS dan STAR.

MCA Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah juga sebahagian daripada BN Sabah.

Chin juga enggan mendedahkan jika Chong akan membuat kemunculan semula. Bagaimanapun, katanya, mereka sudah membuat tinjauan di negeri itu dan yakin mampu memberi kejutan dalam PRN.

“Kebanyakan orang (dalam tinjauan) berkata mereka bersedia menerima kuasa ke-3 di Sabah supaya mereka sekurang-kurangnya mempunyai pilihan lain.

“Kami bebas…kami tidak menyertai BN atau sesiapa pun,” katanya kepada FMT sambil menambah LDP mahu bertanding lebih banyak kerusi kali ini.

Beliau berkata: “Kami akan bertanding di kawasan Kadazandusun Murut (KDM) dan malah kerusi majoriti Bumiputera Islam (selain kerusi Cina)…kami ialah parti berbilang bangsa.”

LDP kehilangan satu kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN yang ditandinginya di bawah BN pada PRU 2018.

Dua hari selepas pilihan raya 9 Mei 2018, LDP menjadi parti ke-2 meninggalkan BN selepas Upko akibat keputusan teruk PRU14.

Tiada ulasan: