HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Ogos 2020

PRK Slim: Jentera Parti Harus Terus Bekerja Keras Demi Kemenangan Yang Lebih Besar

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim harus bekerja sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan yang jumlah majoriti yang lebih besar.

Jelas beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) dijangka menang mudah di PRK Slim ini namun itu tidak bermakna ia boleh dipandang mudah.

“Kita telah melalui proses PRK sebanyak enam kali dan saya berharap agar semua petugas akan terus bekerja kuat sebagaimana di PRK sebelum ini. Kita ada tempoh 15 hari untuk berkempen jadi gunalah peluang ini dengan sebaik mungkin agar kita mampu meraih jumlah undi yang lebih besar berbanding kemenangan pada PRU-14.

“Jangan sesekali kita leka. Walaupun lawan kita nanti tidak kuat tapi kita mesti berangapan mereka boleh menang dan sebab itu jika kita buat kerja sambil lewa kerana yakin boleh menang maka tidak mustahil kita akan kecewa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Shamsul Annuar Nasarah turut melahirkan harapan agar semua jentera BN teruskan usaha bagi memastikan DUN Slim kekal milik UMNO.



 

“Kita mahukan kemenangan yang lebih besar maka sebab itu jentera pilihan raya harus mendekati pengundi di semua peringkat kerana dengan cara ini sahaja kita boleh pastikan BN menang dengan lebih baik.

“Saya harap, semua jentera tidak berasa selesa atau ‘over confident’ sebab dalam politik ini, apa-apa pun boleh berlaku dan ia boleh mengubah persepsi pengundi. Jadi, jentera harus bergerak dengan strategi yang betul.

“Kemenangan kita nanti bakal menambah keyakinan rakyat kepada kita apatah lagi kita bakal berhadapan dengan PRN Sabah dan PRU-15,” ujar beliau.

Sementara itu Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata, semangat yang ditunjukkan jentera pilihan raya di DUN SLIM ini memberi keyakinan BN bakal menang dengan lebih baik apatah lagi jentera kali ini menggabungkan jentera UMNO, PAS dan PPBM.



 

“Saya yakin BN boleh menang dengan majoriti yang lebih besar sebab kita mendapat kerjasama yang baik dari rakan-rakan gabungan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Jika dulu kita berhadapan dengan PAS dan PPBM kali ini pastinya undi mereka akan diberikan kepada calon BN cuma saya amat berharap agar jentera jangan sesekali terbuai dengan kemenangan atas kertas,” ujar beliau.

Untuk rekod, ADUN Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong sekitar 2.30 petang pada 15 Julai lalu.

Mohd Khusairi, menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 2004. Beliau memenangi kerusi DUN Slim pada PRU-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Zulfadli Zainal. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: