HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2020

Bersatu Johor nafi ahli memberontak mahu masuk parti baharu Tun Mahathir

Bernama
Mazlan-1
Mazlan Bujang

ISKANDAR PUTERI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menolak dakwaan kononnya terdapat pemberontakan dalam kalangan ahlinya yang mahu menyertai parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata, kesemua 26 ketua bahagian termasuk ahli-ahlinya tetap kekal bersama presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini.

Malah, menurutnya, Bersatu Johor tidak mempunyai sebarang masalah dalaman.

“Johor sangat terkawal dan kita tidak ada masalah…malah kita akan terus menyokong kepimpinan presiden dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,”  katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mazlan berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan satu laporan berita oleh sebuah portal semalam bahawa ahlinya memberontak mahu menyertai parti Dr Mahathir.

Sementara itu, Mazlan berkata, Bersatu Johor berpendirian Dr Mahathir mempunyai hak untuk menubuhkan partinya sendiri demi demokrasi selain tiada undang-undang yang menghalang seseorang individu berbuat demikian.

Katanya, Dr Mahathir juga diyakini mempunyai pengikutnya sendiri memandangkan beliau merupakan seorang negarawan yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

“Sudah tentu Tun ada sokongan…kita tidak dapat elakkan tapi dalam Bersatu Johor mungkin tidak sampai lima peratus menyokong Tun,” katanya.

Beliau juga mengatakan bahawa Muhyiddin mempunyai pengaruh yang kuat selain menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). – Bernama

Tiada ulasan: